INISIATIF MENU RAHMAH DIPERLUASKAN BAGI KOMUNITI NON MUSLIM DI JOHOR

INISIATIF MENU RAHMAH DIPERLUASKAN BAGI KOMUNITI NON MUSLIM DI JOHOR

Menu RAHMAH tidak halal yang julung kali diadakan peringkat Negeri Johor telah dihoskan hari ini di Jalan Dedap 22, Taman Johor Jaya, Johor Bharu, dan dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Seperti yang sedia maklum, Menu RAHMAH merupakan satu inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang digerakkan dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama rakan strategik yang terdiri daripada pengusaha kedai makanan/minuman bermasak dan juga persatuan berkaitan.

Pelaksanaan Menu RAHMAH bertujuan membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5.00 dan ke bawah. Menu RAHMAH adalah Private Driven Initiative atau inisiatif yang dipelopori oleh pengusaha makanan atau syarikat swasta secara sukarela. Kerajaan tidak menentukan harga, kaedah pelaksanaan, serta bahanbahan bagi Menu RAHMAH yang ditawarkan, asalkan ianya seimbang dengan kandungan protein, karbohidrat dan serat berupa sayur-sayuran.

Pada hari ini, Inisiatif Menu RAHMAH diperluaskan bagi makanan komuniti bukan beragama islam di Food Street Taman Johor Jaya, Johor Bahru dan inisiatif ini diusahakan oleh Persatuan Peniaga Makanan dan Minuman Taman Johor Jaya. Untuk makluman, terdapat 49 buah kedai 2 yang terlibat dalam menawarkan Menu RAHMAH Non Halal. Antara Menu RAHMAH Non Halal yang ditawarkan adalah seperti makanan laut, kepak ayam, mi sup, burger, lobak putih goreng, manisan dan banyak lagi.

KPDN juga telah mewujudkan satu portal bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi premis menjual Menu RAHMAH yang berdekatan dan peniaga juga boleh mendaftar penyertaan mereka dengan melayari https://menurahmah.kpdn.gov.my.

KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya industri restoran dan makanan supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my.