BIASANYA kita hanya mendengar berkenaan penderma hati terdiri dalam kalangan mereka yang mempunyai pertalian darah dengan si penerima hati.
Dek stigma yang ada dalam minda dan diri, sukar rasanya bertemu dengan mereka yang ‘bermurah hati’ memberikan organ hati. Jika adapun hanya boleh dibilang dengan jari.
Pun begitu, ketulusan lelaki ini mendermakan 30 peratus organ hatinya kepada seorang anak kecil 20 tahun lalu benar-benar menyentuh hati rakyat Malaysia. Dengan izin dan kuasa Yang Maha Esa, anak yang dibantu itu kini mampu hidup seperti insan biasa.
Peluang Sihat:Aktif bertemu empat mata dengan Wan Mohd Hafizam Wan Ismail yang kini turut dikenali sebagai Coach Wan, telah memberi penulis peluang melihat sendiri betapa lelaki berusia 43 tahun itu kini seorang individu yang sihat, positif dan ceria.
Ya, beliau menjadi bukti paling signifikan bahawa penderma hati mampu menjalani kehidupan seperti insan biasa dan hal itu sekali gus menangkis pandangan skeptikal orang ramai kononnya golongan yang menderma hati akan berdepan dengan implikasi yang tidak elok.
“Alhamdulillah, saya sihat sahaja. Sentiasa sibuk dengan tugas saya sebagai Jurulatih Equin di Equal Ark di Singapura dan sebagai Penasihat Briged Ekuin Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Walaupun bekerja di Singapura, masa terluang atau pada setiap minggu saya akan bekerja secara sukarela memberi khidmat nasihat kepada pesakit dan keluarga pesakit hati. Lebih 50 kes berkaitan penyakit itu sudah didepani setakat ini dengan bantuan rakan rapat,” katanya kepada Sihat:Aktif pada satu pertemuan di Kelab Bersatu Ampang, Ampang di Kuala Lumpur baru-baru ini.
WAN Mohd Hafizam (tengah) bersama rakan yang juga Pengerusi Kelab Bersatu Ampang, Syed Kabeer Rifaiee K Hamzah (kanan) dan Mohammad Zakariyya Zearat Khan ketika ditemui Sihat:Aktif di Ampang baru-baru ini.
Lahir daripada famili yang susah, sentiasa membangkitkan jiwanya untuk membantu. Walaupun merentas kekangan kewangan ketika 20 tahun lalu, beliau dengan berbesar hati mendermakan hatinya kepada pesakit bengkak hati adik Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini pada ketika itu.
“Niat nak bantu tapi tak ada duit. Hanya itulah yang dapat saya tolong. Apa yang saya harapkan, lebih ramai lagi yang jadi penderma hati dan organ. Tapi saya pasti ada halangannya.
“Orang selalu tanya adakah ‘ada apa-apa dapat back up kita’ atau ada badan akan jaga kebajikan kita nanti? Saya cakap tak ada. Mereka jadi takut. Cuma saya boleh nasihat, kalau nak derma jangan fikir apa kamu dapat. Ikut nasiblah, jangan fikir banyak,” katanya.
Rekod kesihatan
Kata Wan Mohd Hafizam, kisah mengenai bakal penderma hati ada pelbagai ragam. Ujar beliau, ada antara mereka menarik diri saat-saat akhir gara-gara enggan mengambil risiko.
Tidak kurang juga katanya yang mahu mengambil kesempatan.
Melihat situasi itu, lelaki itu melontarkan pandangan peribadinya.
“Cadangan saya buat Kementerian Kesihatan, manfaatkan penggunaan cip dalam MyKad yang boleh menyimpan rekod kesihatan. Apa penyakit yang dialami seseorang, berapa kali sudah derma darah atau organ, ubat apa diambil dan sebagainya kita boleh tahu.
“Saya sendiri berpuluh kali sudah derma darah, tapi tak pernah bawa buku. Asyik kena isi borang dan periksa darah. Tiada sistem yang boleh semak rekod terdahulu. Tapi jika ada sistem, hendak menderma organ pun mudah,” sarannya dengan penuh kesungguhan.
Pemuda berasal dari Changlun, Kedah itu juga mencadangkan supaya kempen derma organ dipergiatkan. Tindakan susulan penting terhadap golongan yang sudah mengisytiharkan diri sebagai penderma organ.
Menurutnya, pemeriksaan kesihatan percuma dari semasa ke semasa juga harus diberikan kepada bakal penderma bagi memastikan tahap kesihatan mereka.
“Bagaimana saya hendak dermakan organ saya jika jantung saya tak sihat setelah saya meninggal? Mereka perlu tahu organ apa yang elok dalam tubuh seseorang penderma itu.
“Saya sendiri sudah hampir 20 tahun mendaftar sebagai penderma organ, tidak dipanggil buat pemeriksaan kesihatan, taklimat motivasi, tiada follow up pun tak ada. Sekarang hanya register dan tunggu ‘masa’ sebelum organ dapat didermakan,” katanya.
Ironinya, beliau yang pernah digelar hero pertama penderma hati juga tidak mempunyai data simpanan rekod berkaitan ketika mendapatkan khidmat di hospital tempatan.
“Saya berharap pada era 2020 nanti, manfaatkan teknologi yang ada. MyKad kita cukup canggih. Kita pada tahap menuju era Malaysia maju,” katanya.
Seperkara tentang perkembangan pembedahan pemindahan hati di negara ini, beliau berharap kerajaan dapat melahirkan lebih ramai kumpulan pakar berkaitan.
“Prosedur hati ini pun sudah berlaku 20 tahun lalu. Takkanlah dalam masa ini kita masih tak ada pakar dan terpaksa panggil pakar luar untuk buat pembedahan di Malaysia?,” katanya.
SEJARAH Wan Mohd Hafizam menderma hati:
– Usahanya mendermakan organ hatinya kepada seorang anak kecil yang tiada pertalian darah pada tahun 1999 mendapat liputan meluas pihak media.
– Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) menjadi pilihan. Pembedahan memerlukan kos kira-kira RM300,000.
– Biarpun selepas menjalani prosedur pemindahan hati, beliau tetap dengan aktiviti berkuda dan sukan lasak. Sebulan selepas pembedahan, beliau mampu menjalani acara terjun payung.
-Menariknya, minat dan kepakaran Wan Mohd Hafizam mendalam terhadap kuda sejak sebelum menjadi penderma hati lagi. Beliau juga berkemampuan mengendalikan anak remaja bermasalah tingkah laku dengan terapi menggunakan kuda.