Frank Lao ambil alih 35 peratus kepentingan ZUS Coffee

JUTAWAN Filipina, Frank Lao yang merupakan individu di sebalik dua francais restoran paling terkenal di Filipina, Choi Garden dan Gloria Maris telah melabur dalam ZUS Coffee

Ketua Pegawai Operasi Choi Garden, Janica Lao telah menandatangani perjanjian untuk membeli saham sebanyak 35 peratus dalam ZUS Coffee dan jenama kopi itu diwakili oleh Pengasas Bersama ZUS Coffee, Ian Chua dalam satu majlis yang diadakan di Malaysia pada minggu lepas.

Janica berkata, kumpulan Choi Garden berhasrat untuk berkembang di Filipina dan ZUS Coffee merupakan integrasi yang sesuai untuk perancangan mereka.

“Kami berhasrat untuk memperkenalkan ZUS Coffee kepada Filipina. ZUS Coffee tidak berniat untuk menjadi francais dan kesemua kedai mereka dimiliki oleh syarikat itu dan mereka berhasrat untuk menjadi juara jenama tempatan.

“Pengembangan ZUS Coffee di Malaysia sangat pantas dalam tiga tahun ini dan mereka beriltizam untuk memenuhi pasaran Malaysia dengan perisa tempatan. Kami percaya mereka akan melakukan perkara yang sama di pasaran Filipina,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ian Chua teruja untuk memulakan projek baharu itu bersama kumpulan Choi Garden.

“Kami cukup berbangga dengan kopi kami. Lebih menggembirakan, ahli perniagaan terkenal seperti Frank Lao melabur dalam perniagaan kami dan ia menunjukkan keyakinan terhadap jenama ini.

“Kami akan memulakan perjalanan baharu untuk mengembangkan lagi perniagaan dan membawa ZUS Coffee ke Filipina dan terima kasih kepada kumpulan Choi Garden yang melabur. Ini adalah masa yang sangat baik untuk kami mengembangkan syarikat. Ia adalah sebuah permulaan untuk ZUS Coffee,” katanya.

Ian Chua berkata, ZUS Coffee menawarkan kopi ‘specialty’ yang konsisten dan berpiawaian tinggi, menggunakan bahan-bahan dan teknologi berkualiti tinggi dan model perniagaan yang inovatif dengan harga berpatutan.

“ZUS Coffee membuka kedai pertamanya di Malaysia pada tahun 2019. Kini, ZUS Coffee memiliki 197 outlet di seluruh negara dengan perjualan kopi yang mencecah 30 juta cawan.

“Jenama kopi tempatan itu telah berkembang pesat di Malaysia dengan model perniagaan inovatifnya yang menawarkan produk berkualiti dengan harga yang berpatutan, kafe moden ‘insta-worthy’, serta dilengkapi dengan aplikasi pesanan dan penghantaran.

“Lebih 1.5 juta individu telah memuat turun aplikasi itu setakat 20 Mac 2023, dan pada masa ini terdapat lebih 800,000 pengguna aktif setiap bulan,” katanya.

Ian Chua berkata, ZUS Coffee sedang berusaha untuk meningkatkan bilangan pengguna aplikasi melalui pelbagai bentuk promosi.

Menurut Ian Chua, syarikat itu merancang untuk membuka 150 outlet di kawasan strategik di sekitar Malaysia pada tahun ini.

“Kami optimis mengenai pasaran kopi dan pengembangan syarikat kami. Kami sangat berterima kasih dengan ZUSsies dan pekerja tempatan kami atas semua pencapaian kami setakat ini.

“Kami mendapati semakin ramai orang menyukai kopi kami dan meminta kami membuka lebih banyak cawangan dan untuk mempelbagaikan menu makanan. Kami akan memperkenalkan makanan panas untuk memenuhi selera mereka,” tambahnya.

Sumber