ECO World Development Group Bhd (Eco World Malaysia) optimis jana jualan RM6 bilion tahun ini menerusi kempen program pemilikan rumah ‘Home Ownership Programme with EcoWorld’ (Hope) yang dianjurkannya.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah berkata, ini berikutan kejayaan kempen sama pada 2018 serta jumlah pertanyaan positif diterima membabitkan produk-produk syarikat tersebut.
“Kami berjaya raih hasil jualan bernilai RM2 bilion untuk 1,800 unit kediaman menerusi kempen #OnlyEco World dan masih ramai yang mengunjungi galeri jualan syarikat untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai unit-unit kediaman ditawarkan,” katanya selepas melancarkan kempen Hope di Kuala Lumpur.
Bagi kempen tahun ini, syarikat pemaju tersebut menawarkan dua pilihan kepada pembeli iaitu ‘HELP2OWN’ (H2O) untuk pembelian unit kediaman menerusi pelan gadai janji, manakala ‘STAY2OWN’ (S2O) membolehkan pembeli, khususnya pembeli rumah pertama menyewa dan seterusnya memiliki rumah berkenaan selepas tempoh setahun atau dua tahun.
Pilihan kedua itu melibatkan kerjasama Malayan Banking Bhd di bawah skim HouzKEY Maybank.
Beliau berkata, pembeli berkemungkinan mengalami isu untuk membayar bayaran pendahuluan rumah dan memerlukan tempoh tambahan selama dua atau tiga tahun sebelum dapat membeli rumah, oleh itu, opsyen S20 itu amat berguna untuk mereka.
“Maybank Islamic akan memegang pemilikan itu dan menerusi bayaran sewa bulanan, pembeli akan mampu memiliki kediaman berkenaan,” katanya.
Eco World Malaysia berjaya melepasi jualan RM3.1 bilion bagi tahun kewangan 2018 dengan sejumlah RM2.2 bilion diraih pada separuh kedua 2018.
Angka jualan belum direkodkan yang dibawa ke tahun kewangan 2019 adalah RM6.44 bilion, disifatkan sebagai tertinggi bagi syarikat itu.