Guccimith dan Zhe Kamil merupakan ahli duo RNB telah bertapak di persada industri muzik Malaysia beberapa tahun yang lalu walaupun nama mereka jarang kedengaran di kalangan penggemar muzik tempatan. Lagu yang dihasilkan oleh mereka bukanlah hanya bergenre ‘hip hop’ sahaja malah pelbagai jenis genre muzik turut dihasilkan.
Kolaborasi mereka bermula sebagai duo muzikal secara tidak sengaja ketika pertama kali bersua di sebuah acara open mic, tambah Guccimith lagi “Zhe memberitahu saya yang dia berkebolehan menghasilkan rentak pelbagai dan merupakan seorang penerbit muzik bebas.
Terbaharu, duo kini tampil dengan sebuah single berentak RNB dalam nuansa trapsoul berjudul ‘Apa Lagi’ terbitan Warner Music Malaysia. ‘Apa Lagi’ mengisahkan sebuah kisah percintaan di antara dua darjat versi moden melibatkan teman wanita berasal dari golongan berada manakala jejaka tersebut pula hanyalah daripada keluarga sederhana.
Selain itu, proses persiapan lagu ini mengambil tempoh masa yang lama berikutan pandemik COVID 19 walaupun nukilan ini telah lama direncanakan oleh Guccimith dan Zhe Kamil pada tahun 2020 manakala hanya dua minggu sahaja yang diperlukan bagi penghasilannya.
“Saya berasa senang bekerjasama dengan Zhe kerana dia seorang yang sangat berbakat dan merupakan seorang artis yang serba boleh selain mempunyai sifat suka merendah diri. Cuma kalau boleh, dia lebih peka betapa berbakatnya dirinya dan tidak merasa kurang yakin dengan diri sendiri” ujar Guccimith memuji kemampuan Zhe sebagai seorang pencipta lagu yang versatil.
Single ‘Apa Lagi’ yang berdurasi selama 2:54 minit ini dimulai dengan rentak trap yang menjadi asas kepada lagu RNB ini dengan tambahan nyanyian berharmoni mereka berdua dan rangkap rap nyata memberi kelainannya yang tersendiri.
Tambahan pula, tarikan video muzik ini terletak jalan cerita yang berbeza iaitu sebuah kisah seorang lelaki yang ingin mengubah hidupnya bersama-sama pasangannya kerana sudah lama hidup dalam kesusahan sehingga dia sanggup melakukan apa sahaja untuk keluar dari situasi tersebut. Video muzik ini boleh ditonton secara eksklusif pada tarikh yang sama hanya di saluran YouTube Guccimith 99.
Di samping itu, mereka juga mengalami kesukaran dalam memperkenalkan jenis muzik yang mereka bawakan. Guccimith berkata “Kami tidak tahu jika orang kita boleh menerima jenis muzik bergenre trapsoul kerana di Malaysia lebih terkenal dengan lagu jenis pop dan berunsur jiwang namun kami yakin dan bekerja keras supaya muzik yang kami perjuangkan dapat diterima di seluruh negara pada satu hari nanti. Akhir kata, kami berharap agar pendengar tempatan semua suka dengan lagu ‘Apa Lagi’ kerana ia merupakan lagu pertama dalam Bahasa Melayu pertama dari kami berdua , semoga semua akan terhibur dan teruskanlah menyokong kerjaya seni kami.
Single ‘Apa Lagi’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.