DENGARI SUARA HATI EMEER BAKRI MENERUSI ‘FANTASIA”

DENGARI SUARA HATI EMEER BAKRI MENERUSI ‘FANTASIA”

Artis terbaharu naungan Armani Entertainment Group (AEG) tampil dengan single sulung dalam rentak balada pop moden.

Emeer Bakri, anak kelahiran Kuanta, Pahang ini sudah hampir 2 dekad lamanya dalam industri muzik tanah air. Mula menyanyi dari umur 10 tahun dengan menyertai pelbagai pertandingan karaoke di sekitar Pahang, dan ketika berumur 12 tahun, Emeer berjaya menjadi salah satu finalis bagi program reality TV3 iaitu Mystarz LG musim pertama dan merupakan satu-satunya peserta termuda.

Dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian di TV9 dipanggil ‘Oo La La’ di usia 14 tahun. Kini pada usia 27 tahun, Emeer Bakri tampil dengan single pertamanya yang berjudul Fantasia, sekaligus kembali mewarnai industri muzik tanah air setelah lama menyepi.

“Alhamdulillah dan terima kasih di atas peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan AEG, terutamanya kepada Dato’ KK Chua serta Puan Zeileen Yusnita kerana mempercayai bakat saya sehingga ditawarkan kontrak rakaman bersama mereka.

“Pada tahun lepas, saya berjaya menjadi naib juara pertandingan pencarian bakat ‘The Audition’ anjuran AEG, dan dari situlah bakat saya ditemui semula,” tambah Emeer.

Emeer juga merupakan penerbit muzik di AEG dan bertanggungjawab dalam menghasilkan pelbagai konten berkaitan muzik.

Lagu Fantasia ini merupakan lagu ciptaan composer terkenal negara iaitu Omar K, Firdaus Rahmat dan John Jeeves. Proses rakaman hanya mengambil masa selama 2 jam sahaja di Studio World Peace Entertainment, Kota Damansara.

“Saya ingin dikenali sebagai seorang artis yang bukan sahaja berkebolehan dalam nyanyian, bahkan mampu menghasilkan karya sendiri dan mempunyai perwatakan atau sikap yang baik. Bagi saya, keistimewaan seseorang penyanyi itu terletak pad acara nyanyiannya yang menjadi signature artis tersebut, apabila didengar sudah diketahui siapa yang menyanyikannya, saya juga tidak menolak untuk bereksperimentasi dengan genre yang lain pada masa akan datang,” kata Emeer.

Muzik video (MV) Fantasia dilancarkan dengan mengangkat tema science fiction, dan jalan ceritanya yang agak berlainan pasti membuat ramai penonton tertanya-tanya apa yang sebenarnya terjadi.

Fantasia juga merupakan runut bunyi rasmi bagi drama ‘Setelah Terlafaznya Akad 2’ yang ditayangkan di Astro Ria bermula 1 Jun pada jam 10 malam di slot Mega Drama.

Lagu Fantasia boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga Youtube Music.

Muzik video (MV) single ini boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran rasmi Youtube Armani Entertainment.