PEWANGI dan wanita memang tidak dapat dipisahkan. Kaum wanita amat gemarkan pewangi, tidak kisah harganya mahal atau murah. Apa yang penting baunya yang mampu memikat hati. Pun begitu, masih ramai yang menyimpan pewangi dengan cara yang salah hingga baunya tidak kekal lama. Jom ikuti cara-cara penyimpanan yang tepat.
1) Simpan pewangi dalam peti sejuk.
Agak pelik bukan, ia sebenarnya dapat membantu untuk memanjangkan jangka hayat pewangi. Namun begitu, jangan simpan pewangi terlalu rapat dengan produk makanan lain kerana ia mampu menyerap bau. Contohnya, mentega.
2) Jangan sesekali goncang botol pewangi
Tindakan menggoncang pewangi sebelum digunakan adalah cara yang salah. Ia mitos semata-mata. Anda perlu tahu bahawa pewangi sememangnya direka untuk kekal sama rata bercampur jika ia disimpan dengan betul.
3) Simpan jauh daripada haba.
Tempat sejuk, kering dan jauh daripada cahaya matahari adalah tempat yang sesuai untuk menyimpan pewangi. Ingat, haba yang terlampau panas atau sejuk boleh menjejaskan keseimbangan minyak sekali gus dapat menukar bau pewangi itu.
4) Simpan dalam almari pakaian atau kotak hiasan
Almari pakaian adalah tempat yang paling sesuai untuk menyimpan minyak wangi kerana keadaannya yang gelap dan bebas daripada kelembapan yang berlebihan. Selain itu, anda boleh menyimpannya dalam kotak hiasan yang tertutup.
5) Jangan simpan dalam kenderaan
Tindakan menyimpan pewangi dalam kenderaan menyebabkan bau dan kandungannya tidak bertahan lama. Udara dalam kenderaan akan bertukar dari panas kepada sejuk bergantung kepada cuaca.