Beza terma halal, ‘no pork’, ‘pork free’

SESETENGAH restoran tidak menjual makanan haram atau dalam erti kata lain tiada khinzir, namun, ia masih diragui kerana pengusaha mempamerkan papan tanda no pork atau pork free.

Ia seolah-olah bagaikan menjadi trend sebilangan restoran hari ini.

Apakah sebenarnya hukum makan di kedai berstatus pork free ini?

Sebenarnya, tindakan pengusaha makanan terutama dalam kalangan bukan Islam yang memaparkan logo pork free (bebas khinzir) hanya semata-mata mahu menarik pelanggan khususnya umat Islam.

Tujuannya supaya mereka menikmati makanan dan minuman yang dijual. Untuk pengetahuan semua, halal dan no pork (tiada khinzir) atau pork free, ia dua perkara yang berbeza.

Cuba kita fikir, adakah terma halal dan no pork itu adalah sama dari segi maksudnya?

Jawapannya, sudah tentu tidak. Halal adalah satu bentuk pematuhan mengikut ketetapan dan hukum-hukum yang ditetapkan oleh syarak. Manakala, no pork pula hanya satu bentuk makluman bahawa kedai berkenaan tidak menjual makanan berasaskan daging khinzir. Itu sahaja.

Tidak semestinya kedai atau premis makanan yang memaparkan logo no pork itu boleh kita anggap sebagai menjual makanan halal.

Status halalnya perlu kita ragui. Dalam hal ini, kita harus bertanya pada diri sendiri sebelum masuk ke kedai-kedai sebegini. Antaranya bagaimana cara penyediaan makanan, bahan-bahan yang digunakan, penyimpanan bahan-bahan basah dan mentah, tempat memasak, tahap kebersihan dan segala perkara berkaitan.

Ini berkait rapat dengan soal halal dan haram serta syubhah (ragu-ragu). Halal itu jelas, haram juga jelas tetapi syubhah adalah antara kedua-duanya.

Dalam hal syubhah, Rasulullah SAW menuntut setiap umatnya meninggalkan perkara tersebut kerana kecenderungannya kepada hukum haram. ALLAH SWT berfirman: “Wahai sekalian manusia, makan daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik…” (Surah al-Baqarah: 168).

Islam bukan setakat soal halal sahaja terutama berkaitan makanan tetapi turut membabitkan sama ada makanan itu baik atau tidak.

(Sumber: Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *