SHAH ALAM – Bank Rakyat menawarkan pulangan tunai lima peratus menerusi kempen Petrol Khamis! (Fuel Thursday!) kepada pelanggan yang berbelanja menggunakan Kad-Kredit-i Bank Rakyat untuk setiap transaksi pembelian petrol dan barangan lain di mana-mana stesen minyak di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, pemegang Kad Kredit-i Bank Rakyat boleh menikmati tawaran ini pada setiap hari Khamis bermula pada 13 Januari sehingga 5 Mei 2022.
Menurutnya, bagi setiap transaksi yang dilakukan, tiada perbelanjaan minimum yang diperlukan untuk menikmati manfaat pulangan tunai itu dan pembelian yang dilakukan di stesen minyak tersebut mestilah barangan patuh syariah.
“Penyertaan bagi kempen ini secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan. Kesemua pulangan tunai akan dikreditkan pada kitaran penyata bulanan yang berikutnya.
“Manfaat pulangan tunai ini juga adalah tanpa had dan tiada had bulanan yang dikenakan sepanjang tempoh kempen berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Syed Abdul Aziz berkata, kempen itu bertepatan dengan semangat serta konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diterapkan oleh kerajaan, melambangkan komitmen dan keprihatinan Bank Rakyat dalam membantu meringankan beban kewangan masyarakat lebih-lebih lagi kepada golongan yang terjejas banjir baru-baru ini.
“Kami berharap kempen dapat mengurangkan kos perbelanjaan harian mereka yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan luar jangka untuk bangkit semula bagi membeli perkakas dan barangan keperluan harian termasuk membaiki rumah dan kenderaan mereka yang rosak akibat banjir,” katanya.