Bagaimana mahu jadi supermom?

MENJADI seorang ibu bukan mudah lebih-lebih lagi menjaga anak yang ramai atau yang masih kecil. Si ibu akan berhadapan dengan tekanan. Tidak terkecuali berasa penat melampau dalam mengurus ragam si kecil mahupun anak yang sudah dewasa. Masing-masing ada karakter sendiri. Macam-macam ragam.

Itu belum cerita soal mengurus hal rumah tangga yang lain. Hal ini bukan sahaja perlu dihadapi oleh ibu yang bekerjaya bahkan ibu yang bergelar suri rumah juga berhadapan tekanan yang lebih besar. Tolong jangan nafikan kenyataan ini! Wahai, ibu-ibu hebat di luar sana, relaks.

Kita redakan segala rutin yang perlu kita lakukan setiap hari. Kita juga perlu menikmati hari-hari yang indah. Sebagai tambah nilai, Famili Femina hari ini membawakan tip berguna bagaimana mahu jadi supermom!

1) Utamakan tugasan yang penting

Tumpukan kepada tugasan yang penting dahulu seperti memasak. Jadi anak-anak tidak perlu menunggu lama untuk menjamah makanan. Kerja-kerja seperti melipat baju atau mengemas rumah boleh dilakukan kemudian.

2) Rancang tugasan lebih awal

Setiap perkara yang hendak dilakukan perlu ada perancangan, kelak ia jadi lebih tersusun. Setiap awal pagi, ambil sedikit masa untuk menulis to-do-list pada sehelai kertas. Rangka waktu untuk senaraikan tugasan tersebut dengan tenang.

3) Elak sikap suka menangguh

Bila sudah ada senarai to-do-list, jangan tangguh-tangguh sebaliknya terus laksanakan tugasan itu. Ikut waktu yang perlu dilaksanakan dan lakukan dengan bersungguh-sungguh serta bersemangat. Contohnya, jam 6 pagi, siapkan bahan-bahan untuk memasak bila pulang dari kerja.

4) Kawal rasa tertekan

Tekanan dan kepenatan sudah pasti menghantui diri anda. Jadi, jangan berterusan melayan tekanan tersebut sebaliknya berfikir positif. Jika anak-anak kita balik sekolah, selalunya, home work mereka akan kelihatan bersepah. Jangan mengamuk atau marah anak-anak. Sebaliknya, nikmati segelas jus dari peti sejuk dan rehat sebentar. Kemudian, bangunlah mengemas dengan tenang dan sabar. Selepas itu, ambil masa didik anak-anak supaya lebih berdisiplin.

5) Berkongsi masalah atau tekanan

Meluahkan ialah salah satu cara wanita melepaskan rasa tertekan. Ia membuatkan anda rasa lebih tenang. Cubalah cari seseorang yang boleh dipercayai seperti ibu, ayah atau suami anda sendiri untuk meluahkan tekanan dalam melayan karenah atau tantrum anak-anak. Ia membantu anda untuk jadi lebih tenang dalam menguruskan tugasan seharian.

6) Cuba mudahkan kerja

Terdapat segelintir wanita mampu menyiapkan pelbagai tugasan rumah walaupun sibuk bekerja. Jawapannya mudah! Buat dua kerja dalam satu masa. Contohnya, anda mungkin boleh memasak sambil membasuh pakaian dengan mesin basuh.

7) Jaga kesihatan diri

Jika jatuh sakit atau badan lemah, mana mungkin anda dapat menguruskan anak-anak dengan baik. Justeru, pastikan anda mengamalkan diet pemakanan yang seimbang dengan pengambilan suplemen tambahan yang dapat memberi tenaga kepada tubuh badan setiap hari.

8) Jangan berhenti berdoa

Jangan pernah putus asa untuk mengadu, merintih dan berdoa kepada Tuhan agar dipermudahkan segala urusan dan tanggungjawab yang digalas. Yakinlah bahawa Allah mendengar doa anda, memberi ketenangan dan kekuatan untuk anda menguruskan anak-anak.

9) Berfikiran positif

Ingat perkara yang baik-baik mampu mengubah hari anda. Percayalah! Jangan pernah beranggapan bahawa tugasan yang perlu dilakukan sebagai satu beban. Anggap anak satu amanah dan penyumbang pahala ketika berhadapan dengan kerenah mereka yang suka meragam.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *