BUDAYA mengadakan rumah terbuka adalah satu inisiatif yang sangat digalakkan kerana ia bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim dalam kalangan masyarakat.
Sebaiknya jemputan juga adalah terbuka sesuai dengan nama dan roh asalnya iaitu rumah ‘terbuka’, bukanlah keutamaan perlu mengadakan jamuan besar-besaran dan seharusnya ia berbeza dengan kenduri kesyukuran.
Pendakwah yang juga Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat berkata, jika tujuannya adalah kenduri kesyukuran, jemputan tetamu yang lebih miskin ataupun anak-anak yatim juga termasuk dalam keutamaan kerana lebih menjurus kepada bersedekah dengan memberi jamuan makanan.
Beliau berkata, kerana itu ditentukan masa supaya memudahkan tetamu untuk berkunjung dan ia perlulah dilaksanakan tanpa mengetepikan prinsip-prinsip asas ziarah dan kunjung-mengunjung serta tuntutan menjamu makanan sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.
“Sebaiknya tiada sekatan kepada tetamu-tetamu yang tertentu sahaja kerana amalan ziarah-menziarahi disunatkan kepada semua orang dengan tujuan mengukuhkan silaturahim.
“Tuan rumah juga dinasihatkan supaya jangan membeza-bezakan tetamu yang datang mengikut darjat dan gelaran.
“Kadangkala ada yang sediakan makanan yang berbeza untuk tetamu kelas atasan dan berkedudukan, sedangkan roh ziarah-menziarahi adalah untuk bersilaturahim manakala menyediakan jamuan makan ini adalah bentuk sedekah sebagai tanda kesyukuran kepada nikmat kurniaan ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengupas situasi segelintir masyarakat yang mengadakan rumah terbuka tetapi menjemput kenalan jauh sedangkan jiran tetangga langsung tidak diundang.
Tak jemput jiran
Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, ada sebahagian dalam kalangan masyarakat hari ini yang menjemput rakan-rakan sekerja datang berkunjung dan menyediakan jamuan makan untuk mereka di rumah sedangkan jiran-jiran tetangga tidak dijemput.
“Saya sarankan untuk tujuan rumah terbuka kita utamakan sanak saudara, jiran tetangga, sahabat-sahabat yang bertujuan untuk berziarah dan bertemu muka sempena menyambut hari raya, dan kita bezakan dengan majlis makan-makan berkumpul sesama rakan kerja yang boleh dibuat pada masa yang lain.
“Mungkin dengan kemampuan terhad, kita terpaksa meminimumkan jemputan. Dalam keadaan itu, dahulukan yang utama dan ikutkan panduan yang disarankan oleh agama,” katanya.
Mohd Nor berkata, situasi tersebut dapat mengelakkan salah faham jiran tetangga yang tertanya-tanya kerana melihat dari luar adanya majlis keramaian di rumah.
Katanya, berbalik kepada tujuan utama penganjuran rumah terbuka itu, jemputan mengikut yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW perlu diutamakan agar amalan itu diberkati dan menepati roh ibadah.
Jelas beliau, ramai juga dalam kalangan kita hari ini menggabungkan rumah terbuka dengan kenduri kesyukuran, tahlil dan sebagainya.
“Saya percaya sanak-saudara dan jiran sekeliling juga faham dan membezakan jika dimaklumkan ada kenduri kesyukuran atau akikah atau tahlil atau mesyuarat persatuan atau berkumpul untuk siapkan projek kerja dan sebagainya,” katanya.
Beliau mengingatkan aktiviti rumah terbuka asalnya bertujuan baik adalah untuk memudahkan amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim.
“Jamuan makanan pula adalah tanda kesyukuran dan meraikan tetamu yang bertandang. Ingatlah jangan sampai rumah terbuka menyebabkan gangguan silaturahim sesama jiran ataupun sanak-saudara. Jangan pula kenduri tanda kesyukuran dibuat dengan cara bermewah-mewah dan membazir, apatah lagi kalau bertujuan bersaing dan menunjuk-nunjuk.
“Andai timbul lebih banyak mudarat dan bercampur elemen maksiat berbanding manfaat dan tidak mematuhi panduan ibadat, rumah terbuka bukanlah sesuatu yang diperintahkan oleh agama,” katanya.