Al-Khansa’ ibu para syuhada

NAMA Al-Khansa’ binti ‘Amr RA terpahat sebagai antara wirawati terbilang dalam Islam. Wanita yang dilahirkan pada zaman jahiliah dan dibesarkan di tengah-tengah suku bangsa Arab, Bani Mudhar ini terkenal dengan panggilan ibu para syuhada.

Bagaimana Al-Khansa’ mendapat jolokan itu? Ia sebabkan sokongan yang diberikan kepada empat anak lelakinya yang syahid di medan Qadisiyah.

Empat puteranya itu merupakan anak Al-Khansa’ bersama suaminya, Rawahah bin Abd Aziz al-Sulami.

Wanita berhati waja ini mendidik dan ‘membina’ anak-anaknya sendiri sehingga mereka menjadi pahlawan-pahlawan Islam yang terkenal sebelum gugur syahid.

Sebenarnya, ada kisah sebelum berlaku peperangan itu.

Empat putera Al-Khansa’ saling berebut untuk berperang melawan tentera Parsi dan pada masa sama memikirkan siapakah yang perlu tinggal di rumah bersama ibu mereka?

Pada saat mereka saling tunjuk-menunjuk siapakah yang patut berada di rumah bersama ibu mereka, rupa-rupanya perdebatan itu turut didengari Al-Khansa’.

Lalu Al-Khansa’ mengumpulkan keempat-empat puteranya dan memberikan sokongan kepada mereka untuk berperang

Kepada anak-anaknya, Al-Khansa’ menitipkan pesanan: “Wahai anak-anakku, sesungguhnya kamu sekalian memeluk agama ini tanpa sebarang ada paksaan. Kalian telah berhijrah dengan kehendak sendiri. Demi ALLAH SWT, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kalian ini putera-putera dari seorang anak lelaki dan dari seorang perempuan yang sama.

“Adalah tidak patut bagiku untuk mengkhianati bapamu, atau membuat malu bapa saudaramu, atau mencoreng arang di kening keluargamu. Jika kamu sekalian telah menyaksikan peperangan, singsingkanlah lengan baju dan berangkatlah, majulah paling depan nescaya kalian akan mendapatkan pahala di akhirat, negeri abadi.

“Wahai anakku, sesungguhnya tiada Tuhan selain ALLAH dan bahawa Muhammad itu Rasul ALLAH. Inilah kebenaran sejati, maka untuk itu berperanglah dan demi itu juga bertempurlah sampai mati. Wahai anakku, carilah maut nescaya engkau akan dianugerahkan kehidupan yang sebenar.”

Kemudian, semua anak lelaki Al-Khansa’ keluar menuju medan perang. Mereka berjuang sehabis daya hinggakan banyak musuh terbunuh di tangan mereka!

Akhirnya, keempat-empat putera Al-Khansa’ syahid.

Berita pemergian mereka langsung tidak membuatkan Al-Khansa’ sedih atau terperanjat. Sebaliknya Al-Khansa’ berkata:

“Alhamdulillah, segala pujian bagi ALLAH SWT yang telah memuliakan diriku dengan syahidnya putera-puteraku.

“Semoga ALLAH SWT segera memanggilku dan berkenan mempertemukan saya dengan putera-puteraku dalam naungan Rahmat-Nya yang abadi di dalam syurga-Nya yang luas.”

Al-Khansa’ meninggal dunia pada tahun ke-24 Hijrah iaitu ketika permulaan pemerintahan Khalifah Usman bin Affan RA.

(Sumber: Dr Khalid Muhammad Khalid)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *