SHAH ALAM – Tadabbur surah Al-Fatihah sepanjang mengikuti program My #QuranTime (MQT) memberi inspirasi positif kepada seorang pakar runding syarikat swasta dalam menjalani kehidupan.
Wan Rusmawati Wan Mohd, 44 berkata, walaupun isi kandungannya nampak bersahaja, namun jika difahami dengan lebih mendalam, surah tersebut mengandungi hikmah dan mesej yang sangat besar dalam perjalanan kehidupan manusia.
Ibu kepada enam orang anak itu memberitahu, program yang diikuti semenjak 2020 secara tidak langsung menjadikan kualiti pemahaman al-Quran semakin baik.
“Bila tadabbur surah Al-Fatihah ini, saya tertarik dengan rangkap ayat yang menegaskan tentang Allah yang disembah dan menjadi tempat meminta hajat.
Ia buat diri saya jadi muhasabah tentang perjalanan kehidupan kita yang kadang-kadang ada banyak masalah dan adakalanya kita lebih mencari manusia untuk meluahkan tentangnya sedangkan yang sepatutnya adalah sebaliknya.
“Jadi ia memberikan saya satu kualiti baru bukan setakat dalam membaca al-Quran tetapi juga memahami isinya dengan baik. Andai kata tidak berkesempatan mencatat nota, saya akan membeli buku nota My #QuranTime untuk rujukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Wan Rusmawati merupakan anak kelahiran Kelantan dan sudah menetap selama 19 tahun di Kajang, Selangor merupakan peserta MQT 2.0 yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Program sebanyak 2,111 episod itu akan mula bersiaran setiap hari bermula Rabu ini, jam 12 hingga 1 tengah hari di semua platform digital Quran Hour dan Sinar Harian.
Program MQT mengekalkan peneraju, Ustaz Fazrul Ismail sebagai pentadabbur dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali serta Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman sebagai qari, pentadabbur serta qari jemputan akan mengisi di slot ulangkaji.
Sementara itu, Wan Rusmawati yang juga merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan Whatsapp Istiqamah menambah, umat Islam diingatkan terutama golongan belia untuk tidak meninggalkan al-Quran dalam kehidupan.
Jelasnya, kitab suci itu merupakan satu panduan hidup yang membawa pembacanya di atas garis yang lurus dan suci dalam kehidupan.
“Al-Quran ini sebenarnya terkandung pelbagai penyelesaian kepada masalah kehidupan kita,” tambahnya.
Kumpulan Istiqamah itu diwujudkan oleh 17 peserta yang komited dengan program tersebut bertujuan merapatkan silaturahim antara mereka.
Mereka terdiri daripada kalangan yang bekerja, suri rumah dan usahawan yang datang dari Selangor dan Kuala Lumpur.
Antara sumbangan mereka dalam program MQT ialah menginfakkan makanan kepada kru dan peserta lain yang hadir.