AirAsia yakin pertumbuhan 2020

AIRASIA Group Bhd yakin akan pertumbuhan perniagaannya pada 2020 walaupun permintaan perjalanan yang perlahan selain halangan ekonomi serta protes berterusan di Hong Kong.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat itu telah berkembang lebih 20 tahun sejak penubuhan syarikat penerbangan tambang rendah itu dan akan tetus menawarkan harga berpatutan.

“Berjalan sudah menjadi suatu keperluan. Orang pergi bercuti, orang mahu berhijrah untuk bekerja. Unjuran saya kekal positif. Kami melihat lebih banyak pertumbuhan, itu sebab kami membeli 300 pesawat.

“Kami sangat yakin,” katanya kepada pemberita selepas menyambut airbus A321neo pertama AirAsia dari Hamburg, Jerman di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan Datuk Mohamaddin Ketapi.

Awal tahun ini, AirAsia mengubah 253 pesanan untuk A320neo kepada versi A321neo yang lebih besar dengan sejumlah 353 pesawat ditempah menjadikannya sebagai antara pelanggan terbesar di dunia untuk A321neo.

Pesawat itu kini merupakan pesawat pertama jenis itu yang beroperasi di Malaysia.

A321neo yang merupakan barisan keluarga Airbus A320 paling laris, menggabungkan teknologi terkini, seperti enjin generasi baharu dan Sharklets yang bersama-sama menyediakan penjimatan bahan api sebanyak 10 peratus.

Fernandes berkata, pesawat baharu itu membolehkan AirAsia membakar bahan api secara lebih mampan.

“Keuntungan akan meningkat. Kami menunggu keputusan yang kukuh pada 2020,” katanya.

Ditanya sama ada kumpulan itu merancang untuk mengapung unitnya di Filipina, Fernandes berkata, ia akan menunggu penilaian yang adil.

“Filipina adalah ‘berlian’ yang belum digilap kerana kedudukannya di sempadan China dan Taiwan dan penghubung utama di timur Amerika. Prestasi kami baik dan tidak mahu menjual pada kadar rendah,” katanya.

Unit AirAsia Filipina menangguhkan tawaran awam permulaan ke tahun tahun depan atau 2021 sementara ia memberi tumpuan kepada penyusunan semula korporat dan mencari dana daripada pemegang saham sedia ada.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu merancang menjadi syarikat awam dan mengumpul kira-kira AS$200 juta sejak 2015, namun menangguhkan pelan itu beberapa kali ekoran kedudukan pasaran yang lemah dan harga minyak yang tidak menentu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamaddin berkata, penyambungan penerbangan yang semakin meningkat dari destinasi lain ke Malaysia merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan ketibaan pelawat ke Malaysia bagi memenuhi matlamat Tahun Melawat Malaysia 2020.

“AirAsia telah memberi sumbangan ketara ke arah pertumbuhan pelancongan di Malaysia dan lebih lagi menerusi penambahan AirAsia A321neo ke dalam kumpulan pesawatnya dengan tambahan 50 tempat duduk berbanding Airbus A320 yang digunakan AirAsia sekarang,” katanya.

AirAsia akan menggantikan pesawat A320 dan A320neo sedia ada dalam keseluruhan rangkaian yang meliputi Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun.

Menggunakan 236 kerusi peningkatan kapasiti sebanyak 27 peratus berbanding pesawat A320 (180 kerusi) dan A320neo (186 kerusi), A321neo akan dapat memenuhi permintaan yang berterusan dalam seluruh rangkaian, dengan kecekapan operasi yang ketara serta membuka peluang untuk meneroka destinasi baharu, dengan lebih daripada 10 peratus penjimatan bahan api.

Kumpulan AirAsia kini mengendalikan kumpulan pesawat Airbus dari habnya di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *