AIRASIA Bhd meraikan laluan baharunya Kota Kinabalu-Sibu hari ini berikutan langkahnya memulakan perkhidmatan komersial baru-baru ini yang bertujuan untuk menambah rangkaian perhubungan ke Sarawak.
“Kami dengan penuh rasa gembira memulakan 2019 dengan perkhidmatan komersial baharu kami dari Kota Kinabalu ke Sibu dan Bintulu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dalam kenyataan hari ini.
Tahun lepas, syarikat penerbangan tambang rendah itu menerbangkan 1.2 juta tetamu dari dan ke Sibu dan lebih 669,000 tetamu masuk dan keluar Bintulu.
“Kami komited untuk menambah rangkaian perhubungan antara Sarawak dan Sabah dan dengan tambahan dua penerbangan terus setiap hari dari Kota Kinabalu, kami menjangkakan jumlah pelawat ke Sibu akan mencatatkan peningkatan ketara, sekali gus menambah rangkaian perhubungan antara bandar raya peringkat kedua di Sabah/Sarawak,” katanya.
AirAsia kini beroperasi ke empat destinasi dari Sibu – Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu – dengan 90 penerbangan sehala seminggu, dan ke tiga destinasi dari Bintulu – Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu – dengan 56 penerbangan sehala seminggu.
Untuk meraikan perkhidmatan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang rendah daripada serendah RM59* dari Sibu ke Kota Kinabalu yang boleh ditempah menerusi airasia.com dan AirAsia mobile app dari sekarang sehingga 3 Februari 2019 bagi perjalanan sehingga 31 Julai 2019. – Bernama