AirAsia kembali beroperasi di Terminal 4 Changi

AIRASIA Aviation Group Limited (AAAGL) bakal kembali beroperasi di Terminal 4 (T4) Lapangan Terbang Changi dari Terminal 1 (T1) mulai 15 September 2022.

Menurut kumpulan itu, semua penerbangan AirAsia yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (kod penerbangan: AK), AirAsia Thailand (kod penerbangan: FD), AirAsia Indonesia (kod penerbangan: QZ) dan AirAsia Filipina (kod penerbangan: Z2) akan tiba dan berlepas dari Terminal 4.

“Jadual penerbangan dan waktu pelepasan serta ketibaan tidak akan terjejas oleh perpindahan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya penumpang akan dimaklumkan mengenai perubahan ini melalui e-mel dan SMS serta akan menerima maklumat penerbangan baharu melalui e-mel yang berdaftar.

“Para penumpang turut disarankan untuk mengemas kini butiran untuk dihubungi bagi memastikan mereka menerima sebarang kemas kini terhadap penerbangan mereka,” katanya.

Menurut kumpulan itu, perpindahan tersebut turut termasuk pelarasan kepada kios daftar masuk di T4, Balai Berlepas, Baris 4; kaunter daftar masuk bagasi secara kendiri terletak di Baris 4; Kaunter Perkhidmatan di Baris 4 dan kaunter daftar masuk berkumpulan di Baris 3.

AirAsia menggalakkan semua penumpang untuk mendaftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App sebelum tiba di lapangan terbang dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki penerbangan mereka.

Perkhidmatan daftar masuk dalam talian tersedia dari 14 hari hingga 1 jam sebelum waktu pelepasan yang dijadualkan.

Penumpang yang berlepas dari T4 dinasihatkan untuk tiba awal bagi memastikan masa yang mencukupi untuk bergerak melalui terminal.

T4 Lapangan Terbang Changi akan beroperasi semula pada 13 September selepas operasinya digantung pada Mei 2020 akibat pandemik Covid-19. – Bernama.


Sumber