Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) yang kedua bakal memberi momentum baharu dalam ekonomi dunia terbuka sebagai langkah utama China untuk membuka pasarannya secara aktif.
CIIE yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 10 November ini menyaksikan peningkatan jumlah syarikat yang mengambil bahagian dengan menawarkan pelbagai produk baharu dan teknologi canggih, selain ruang pameran yang lebih luas.
Data rasmi menunjukkan pameran yang bertemakan import itu akan menarik penyertaan lebih 250 syarikat terkemuka dunia sekaligus mempertingkat pengaruhnya.
Kawasan pameran diperluas sebanyak 60,000 meter persegi kepada 360,000 meter persegi berbanding tahun lepas.
“Yang diuruskan China dan dikongsi seluruh dunia, CIIE menyuntik tenaga dan keyakinan terhadap pembinaan satu ekonomi dunia yang terbuka,”kata Menteri Perdagangan China, Zhong Shan.
Lebih Terbuka
Seorang ahli perniagaan Bangladesh, Mohammad Nurus Safa berkata, kumpulan kedua daripada komoditinya yang dibawa dengan kapal akan sampai Shanghai untuk CIIE.
“Pada tahun ini, kami akan membawa produk sulaman tempatan yang unik supaya lebih ramai rakyat Bangladesh dapat berkongsi peluang pembangunan yang dibawa oleh ‘tren ekspres China’,” kata Safa yang juga pengasas Dada Bangla Limited.
Syarikat Safa antara 3,000 perusahaan daripada kira-kira 150 negara dan wilayah yang berdaftar untuk menyertai pameran tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif L’Oreal China, Fabrice Megarbane berkata, CIIE sebagai platform terbaik mendapatkan pelanggan dari semua sektor maka syarikatnya akan mempamerkan 11 jenama mewah di kawasan pameran barangan pengguna.
“Selain peluang yang disediakan pameran itu sendiri, persekitaran perniagaan China yang sentiasa ditingkatkan juga menarik perhatian kami,” kata Pengarah Hal Ehwal Awam Mars China, Anna E.
Dasar pintu terbuka yang baharu tahun ini telah memberi dorongan yang lebih besar kepada syarikat asing untuk meningkatkan pelaburan dalam ekonomi kedua terbesar dunia.
Pada 30 Julai lalu, China menyemak semula senarai negatif terhadap akses pasaran pelaburan asing dengan menyediakan suasana lebih terbuka dalam sektor-sektor seperti perkhidmatan, pembuatan dan perlombongan.
Pelabur asing turut dibenarkan menjalankan perniagaan sebagai pemegang saham majoriti atau mengendalikan operasinya secara perseorangan di lebih banyak sektor.
Pada Ogos lepas, China mengumumkan pelan induk zon perdagangan bebas (FTZ) perintis yang baharu di enam provinsi, yang menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 18.
FTZ akan menguji cara baharu dalam pengurusan pelaburan asing, fasiliti perdagangan dan transformasi fungsi kerajaan demi mengintegrasikan ekonomi ke arah lebih baik selari dengan amalan antarabangsa.
Timbalan Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Pentadbiran Kawasan Pusat Perdagangan Hongqiao (CBD) Shanghai, Min Shilin berkata, pameran itu bukan sahaja meningkatkan import barangan dan perkhidmatan, tetapi turut mempromosikan pelaburan asing melalui tarikan perdagangan serta pasaran.
Sebuah pusat logistik di CBD Hongqiao dilancarkan pada September lalu untuk menawarkan perkhidmatan perdagangan sehenti bagi menyokong CIIE.
Pengunjung mengenali produk bijirin di gerai pameran syarikat Rusia di CIIE
pertama di Shanghai pada 6 Nov 2018. Pelbagai makanan dari seluruh dunia
dipamerkan di CIIE. – Foto: Xinhua
Lebih Banyak Pencapaian Bermanfaat
Pameran pertama yang berlangsung di Shanghai pada November lalu mencepatkan kemasukan jenama asing ke lebih banyak kawasan pedalaman di China dan memperluas potensi pasaran negara tersebut.
Pada CIIE pertama itu, syarikat Safa mempamerkan pelbagai kraf tangan tempatan seperti karpet, bakul dan beg yang kebanyakannya dihasilkan oleh wanita miskin di Bangladesh sehingga menarik perhatian pelawat serta pembeli.
“CIIE memberi peluang untuk menyumbang kepada usaha pengurangan kemiskinan global,” katanya.
Dengan wujudnya CIIE yang pertama, kraf tangan Bangladesh kini dijual di gedung serbaneka mewah di Shanghai.
Tiga bulan selepas CIIE yang pertama, produk tenusu keluaran New Zealand yang dipamerkan di ekspo berkenaan pula didapati di sebuah pasar raya di Wilayah Autonomi Hui Ningxia di barat laut China.
Komoditi asing seperti aiskrim Rusia, wain Georgia dan hiasan Kenya pula menjadi tumpuan pengguna tempatan di sebuah pusat perdagangan di bandar raya Chongqing di barat daya China.
CIIE pertama berjaya menarik lebih 3,600 perusahaan dari 172 negara, kawasan dan organisasi antarabangsa membabitkan lebih 400,000 pembeli domestik serta luar negara.
Ekspo selama enam hari itu turut menyaksikan tawaran pembelian barangan dan perkhidmatan selama setahun bernilai USD57.83 bilion.
Pelbagai barangan diimport menggunakan rangkaian perkhidmatan kereta api pengangkutan China-Eropah, yang merancakkan lagi dasar pintu terbuka China selain meningkatkan kerjasama perdagangan dengan pasaran luar negara.
Dasar-dasar seperti mengurangkan tarif import dan mempercepat proses pelepasan kastam turut melicinkan kemasukan jenama asing ke pasaran China.
Satu bungkusan susu segar dari ladang di New Zealand yang dihantar pada Isnin, paling cepat boleh sampai di atas meja makan di China pada Rabu.
Pengusaha makanan bersedia mengimport lebih banyak makanan segar dan beku kepada pengguna China.
“CIIE pertama memperkukuh keyakinan kami terhadap dasar-dasar persekitaran perniagaan China dan membolehkan kita melihat permintaan pasaran domestik yang terus meningkat di negara ini,” kata Megarbane.
Naib Pengarah Biro CIIE, Sun Chenghai berkata, CIIE kedua akan mewujudkan platform bagi melancarkan dan mempamerkan produk serta teknologi baharu.
“Ini menunjukkan keazaman dan keyakinan China untuk melaksanakan perdagangan bebas dan akan meningkatkan tahap kehidupan rakyat serta menggalakkan penggunaan domestik,” katanya.