KPF Laksanakan Penstrukturan Semula Aset “RM4 Bilion” untuk tangani Jualan Saham Anggota.
Seperti yang telah diumumkan oleh Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Ke-43 Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) baru-baru ini, isu jualan saham KPF akan diselesaikan dalam masa enam hing ga sembilan bulan. Anggota KPF yang belum menerima hasil jualan saham akan menerimanya dalam tempoh tersebut.
KPF sememangnya komited untuk menyelesaikan tunggakan pengeluaran saham bernilai
RM200 juta kepada anggotanya. Bermula 10 Julai lalu, KPF telah membuat pembayaran sebanyak RM20 juta bagi permohonan yang diutamakan seperti permohonan haji, sakit kritikal, tuntutan kritikal, masalah kewangan, dan khairat kematian. Bagaimanapun, KPF akan terus komited untuk membuat pembayaran selebihnya secara berkala mengikut sistem penggiliran dan ketersediaan tunai.
Justeru itu, KPF kini sedang dan akan melaksanakan pelan penstrukturan semula aset bernilai
RM4 billion untuk memenuhi keperluan tunai semasa dan merancang pendapatan mampan untuk jangka masa panjang. Pelbagai inisiatif dan strategi yang sedang dan akan dilaksanakan ini adalah untuk memastikan koperasi ini kekal relevan sekaligus memastikan pelaburan anggotanya dan juga peneroka Felda diletakkan dalam aset pelaburan yang dapat memberi pulangan yang mampan serta kadar dividen yang lebih baik.
Pelan tindakan utama yang sedang dilakukan adalah mengenal pasti dan mencairkan aset yang tidak menjana pulangan yang sepatutnya, penjualan ladang KPF Samarahan, penstrukturan semula pelaburan korporat dalam anak syarikat kumpulan Felda dengan sokongan FELDA, mengenal pasti peranan KPF dan peluang perniagaan dalam Kumpulan FELDA, dan memastikan kepentingan KPF dalam kitaran ekonomi ekosistem Kumpulan FELDA.
Sehubungan dengan pelan ini, KPF berharap akan mencapai beberapa sasaran hasil iaitu isu aliran tunai dapat diselesaikan; urusniaga syer anggota dapat diuruskan selari dengan peraturan koperasi; struktur keseluruhan ekuiti 10 syarikat Kumpulan FGV dan ekuiti Malaysia Holdings Berhad (MSM) distruktur dan dinilai semula supaya dapat menjana pulangan yang konsisten kepada KPF: perniagaan dalam ekosistem FELDA seperti Buah Tandan Segar (BTS) dan Pusat Memungut Sawit (PMS) dapat memberi sumbangan kepada bayaran dividen; dan aset pelaburan dan aktiviti perniagaan luar yang mampan dan berdaya saing serta menjana pulangan yang konsisten.