Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah, Datuk Azman Nasrudin (kiri) bersama Ramli menunjukkan tanda bagus ketika melawat Fiesta Harumanis D’Aman di Sungai Petani.
LEBIH RM75,000 hasil jualan berjaya diperoleh sepanjang tiga hari Fiesta Harumanis D’Aman berlangsung sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap harumanis keluaran Kedah itu.
Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Ramli Abdul Rahman berkata, hasil jualan meliputi 15 metrik tan buah tersebut melibatkan penyertaan 10 usahawan dari pelbagai daerah terutama Kubang Pasu dan Padang Terap.
Menurutnya, penganjuran fiesta bermula 12 hingga 14 Mei lalu itu bertujuan mempromosikan buah tersebut yang baru dijenamakan semula.
“Harga jualan bermula RM20 hingga RM35 sekilogram mengikut gred tidak termasuk penghantaran… kita juga menerima tempahan melalui dalam talian yang sambutan turut memberangsangkan,” katanya.
Menurut Ramli, pengeluaran pada tahun 2022 iaitu tahun pertama dijenamakan semula membabitkan hasil jualan berjumlah RM1.6 juta bersamaan 70 metrik tan buah.
“Keluasan penanaman harumanis Kedah meliputi 107.76 hektar bersamaan 7,000 batang pokok yang diusahakan oleh 131 petani berdaftar,” katanya.
Jelasnya, antara cabaran yang dihadapi ialah gangguan cuaca kerana harumanis akan lebih berkualiti jika sentiasa terdedah kepada cuaca panas.
Beliau berkata, Jabatan Pertanian Negeri Kedah menyasarkan jumlah pengeluaran mencapai 600 metrik tan membabitkan keluasan penanaman meningkat kepada 200 hektar menjelang 2025.
Jelas Ramli, Harumanis D’Aman bukanlah berhasrat menandingi harumanis di Perlis namun melengkapi antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan permintaan dan pasaran.
“Selain mempromosi harumanis dan dijadikan acara tahunan agropelancongan, fiesta yang dianjurkan juga membantu usahawan memasarkan produk sekali gus memperkenalkan teknologi pertanian melalui khidmat nasihat dan klinik pertanian.
“Saya berharap Harumanis D’Aman menjadi trending dan sebagai pilihan kepada penggemar buah tersebut,” katanya.