20,000 peserta sertai Malaysia #QuranHour

20,000 peserta sertai Malaysia #QuranHour

PUTRAJAYA – Malaysia #QuranHour yang bertemakan ‘Malaysia Berakhlak Mulia, Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’ sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 berjaya menghimpunkan 20,000 peserta di 200 lokasi seluruh negara.

Di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, program berinteraksi al-Quran melalui baca, faham dan amal itu disertai kira-kira 3,000 peserta.

Program berkenaan turut berlangsung di tiga lokasi di luar negara iaitu Bangkok, Thailand; New South Wales, Australia; dan Washington, Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, bagi edisi kesembilan tahun ini, Malaysia #QuranHour memfokuskan agenda anak muda dan peranan orang dewasa.

“Pemuda menjadi tonggak dan aset penting dalam pembinaan negara pada masa hadapan. Gabungan ini saling melengkapi dalam melahirkan Gen Q (Generasi Al-Quran), seterusnya pemimpin abrar yang membawa legasi kebaikan dan membumikan al-Quran.

“Selepas pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, kini tiba masanya setiap lapisan rakyat yang berbilang kaum dan agama bangkit bersama untuk membina negara ini menuju Malaysia Berakhlak Mulia. Kita perlu tinggalkan segala perbalahan dan besarkan persamaan, kecilkan perbezaan.

“Malaysia #QuranHour yang digerakkan sempena momentum Hari Kebangsaan, mengajak seluruh masyarakat untuk memahami intipati dan erti kemerdekaan dalam membangunkan negara yang makmur, utuh dan progresif melalui intervensi yang diformulasikan daripada prinsip-prinsip al-Quran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Program itu turut dihadiri isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datin Nik Roslini Raja Ismail; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Antara pemimpin politik yang hadir pada program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Antara pemimpin politik yang hadir pada program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. – FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Turut hadir, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman; Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dan ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman (Altimet).

Hadir sama, Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre, Nizran Noordin; Ir. Muhammad Hasanuddin Thoyleb MM yang mewakili penganjur Indonesia #QuranHour; Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub dan pihak pengurusan rakan sinergi media.

Tambah Marhaini, pada tahun ini, Surah Al-Insan (Manusia), Surah Al-Fatihah (Pembukaan) dan Surah Al-Asr (Masa) menjadi surah pilihan yang diharap dapat mengubah kerangka fikir dan karakter diri yang mulia, seterusnya menjiwai kemerdekaan sebenar.

Malaysia #QuranHour kali ini diberi pengisian bacaan al-Quran yang dibimbing oleh lima qari, iaitu Abdul Qowiy Abd Rashit, Tilmiz Afif, Amir Naufal Rifqi, Faris Hadi Taufik dan Yusuf Kassim.

la diselang-selikan dengan sesi tadabbur yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail; Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi dan Ustaz Mujib Othman.

Program sejam itu dikendalikan oleh Konsultan Perhubungan Antarabangsa WUIF, Zaim Zamri sebagai hos, bersama pembaca isyarat, Muhamad Amsyar Zamani.

Sesi ikrar al-Quran pula dibacakan oleh Yusuf Azmin manakala Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nur Azamir Alias membacakan Doa Malaysia Berakhlak Mulia bagi mengakhiri majlis tersebut.

Jelas Marhaini, program berkenaan juga berjaya mendapat capaian 808 juta di semua platform media.

Sebahagian peserta yang menyertai program Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Sebahagian peserta yang menyertai program Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. – FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

“Saya melihatnya sebagai satu kejayaan besar yang dicapai, hasil kerjasama antara rakan sinergi media termasuk RTM, TV1, Sinar Islam Plus, Sinar Harian, Karya Bestari, TV AlHijrah, TV9 dan Bernama.

“Media lain yang turut serta ialah Astro Oasis, Astro Awani, Radio IKIM, Utusan TV, Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, Sdn Bhd, Nu Ideaktiv, Zayan FM, New Straits Times, Berita) Harian, Harian Metro, TV3, Media Prima dan Denaihati Network,” ujar beliau.

Malaysia #QuranHour dinaungi oleh Jakim dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Rumah Ngaji, Sahabah al-Quran, badan bukan kerajaan dan agensi swasta di dalam dan luar negeri.

Sementara itu, Wardah dan Kahf sebagai penaja utama, Kueh Café, Syarikat Faiza Sdn Bhd dan Gardenia turut memberi sokongan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia #QuranHour berlangsung hari ini

Malaysia #QuranHour: Orang ramai mula banjiri Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

Malaysia#QuranHour: Jadikan al-Quran sebagai tonggak utama kehidupan

Malaysia #QuranHour medium generasi muda dekati al-Quran

Tidak pernah terlepas sertai program #QuranHour

Sumber