‘Winning Meals Kachimeshi’ pupuk pemakanan sihat, hidup aktif

‘Winning Meals Kachimeshi’ pupuk pemakanan sihat, hidup aktif

KUALA LUMPUR – Ajinomoto Malaysia Berhad (AMB) berharap program nutrisi sukan ‘Winning Meals Kachimeshi’ akan dapat menyokong dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia khususnya kepada atlet negara.

Pengarah Urusan AMB, Tomoharu Abe berkata, ia diharapkan dapat membantu masyarakat umum yang aktif bersukan dalam memupuk amalan ‘pemakanan sihat, hidup aktif’.

“Bagi pihak Ajinomoto Malaysia, kami amat menghargai kerjasama dengan tiga atlet negara dalam program nutrisi sukan, ‘Winning Meals Kachimeshi’ di bawah ‘ASEAN Victory Project’.

“Sepanjang projek itu, para atlet dididik dan dihidangkan dengan diet seimbang untuk memenuhi keperluan dan sasaran latihan mereka.

Tomoharu Abe

Tomoharu Abe

“Diet atlet juga digabungkan dengan minuman jeli asid aminoVITAL Ajinomoto untuk menyokong prestasi senaman, daya tahan dan pemulihan otot,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis meraikan tiga atlet negara di bawah ‘ASEAN Victory Project’ atas kemenangan pingat perak dan gangsa dalam Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini pada Khamis.

Tiga atlet tersebut ialah pemenang pingat perak acara lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa; pemenang pingat perak acara lempar cakera, Queenie Ting Kung Ni dan pemenang pingat gangsa heptatlon, Norliyana Kamaruddin.

Dalam pada itu, Nauraj berkata, program nutrisi sukan ‘Winning Meals Kachimeshi’ itu sangat membantu seperti memberikan sokongan kepada atlet negara.

“Ia menjadi sumber motivasi kepada atlet-atlet khususnya seperti saya,” katanya.

Menurutnya, program nutrisi itu juga disesuaikan mengikut keperluan latihan atlet.

“Ajinomoto benar-benar menyediakan makanan nutrisi bagi membantu pemulihan saya dan membekalkan tenaga yang saya perlukan,” ujarnya.

Bagi Norliyana, program nutrisi itu membolehkannya memperoleh pengetahuan berhubung pengambilan dan keseimbangan makanan yang betul.

“‘Winning Meals Kachimeshi’ ini beritahu info nutrisi yang penting kepada atlet. Kadang-kadang atlet tidak mengetahui sepatutnya dia kena ambil apa.

“Jadi, ‘Winning Meals Kachimeshi’ ini memang beri banyak maklumat,” jelasnya.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber