Waspada upah badal haji murah

Waspada upah badal haji murah

PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) menasihati umat Islam supaya berhati-hati dengan perkhidmatan upah badal haji yang menawarkan harga tidak munasabah daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, tawaran caj perkhidmatan badal haji serendah RM1,200 sehingga RM2,500 ketika ini dipersoalkan berikutan kos permit mengerjakan haji bagi mereka yang bermastautin di Arab Saudi sahaja mencecah SAR3,500 (RM3848.00).

Menurutnya dengan adanya permit berkenaan bakal jemaah haji yang mengerjakan badal haji boleh mengerjakan haji tanpa ragu-ragu dan bimbang ditangkap pihak berkuasa di sana.

“Papuh ingin menyarankan pada mereka yang ingin mengupah badal haji perlu melalui proses akad dengan jemaah yang akan mengerjakan haji dan perlu berhati-hati,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahun Papuh ke-4 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pada majlis sama, lima agensi umrah yang bernaung di bawah Papuh telah menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) bersama syarikat penyedia visa yang berpangkalan di Makkah, Marmara Group yang diwakili oleh Pengurus Besarnya, Ramzi AlKutbi.

Razali berkata, Papuh berharap pihak berwajib iaitu Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan mengambil tindakan terhadap syarikat yang menawarkan perkhidmatan badal haji dengan harga yang murah dan Papuh akan bersedia memberikan kerjasama.

Razali berkata, usaha membanteras penipuan itu perlu dilakukan supaya ia tidak menular dan menjadikan masyarakat di negara ini sebagai mangsa kepada mereka yang mementingkan keuntungan.

Mengulas mengenai perkembangan Papuh, Razali berkata setakat ini Papuh mempunyai 320 ahli dan menyasarkan pertambahan ahli menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini sebanyak 1,000 agensi umrah dan haji beroperasi di negara ini. Kami berkeyakinan sasaran akan dicapai berikutan Papuh telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada awal tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, untuk mengukuhkan kedudukannya, Papuh juga mengambil inisiatif membangunkan aplikasi e-Papuh sebagai mekanisme membanteras penipuan jualan pakej umrah,

“Aplikasi berkenaan turut membantu ahli yang menyertai persatuan ini menjual pakej umrah mereka dan orang ramai boleh menggunakan platform tersebut untuk memilih pakej umrah yang selamat dan berdaftar.

“e-Papuh juga akan membantu syarikat pelancongan yang ditipu syarikat lain dalam urusan tiket dan visa,” katanya.

INFO: Badal haji ialah ibadah yang mewakilkan kepada waris atau orang lain bagi melaksanakan ibadah haji ke atas dirinya disebabkan uzur seperti sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua ataupun yang telah meninggal dunia sedangkan dia berkemampuan tetapi tidak sempat menunaikan ibadah tersebut ketika masih hidup.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *