Vila mewah tarikan terbaru Bertam Resort

Vila mewah tarikan terbaru Bertam Resort

Mohammed Iqbal (kanan) menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR) kerana Bertam Resort and Water Park memiliki kolam renang terpanjang dalam sebuah bilik hotel.

Mohammed Iqbal (kanan) menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR) kerana Bertam Resort and Water Park memiliki kolam renang terpanjang dalam sebuah bilik hotel.

HOTEL bertaraf lima bintang, Bertam Resort Penang di sini bakal memulakan projek fasa tiga dengan membangunkan 16 unit vila mewah tidak lama lagi.

Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd, Datuk Mohammed Iqbal S Habeeb Noohu berkata, kerja-kerja pembinaan yang akan bermula Oktober mengambil masa antara enam hingga ke sembilan bulan untuk disiapkan dan membabitkan kos sebanyak RM7 juta.

Menurutnya, vila mewah itu turut menyediakan rumah kelab dan pusat penjagaan kesihatan bagi tetamu yang inginkan mendapatkan rawatan.

“Alhamdulillah sejak mula dibuka pada Mac lalu, Bertam Resort Penang menerima kehadiran pengunjung sekitar 15,000 setiap bulan dan kita jangkakan selepas siapnya fasa ketiga ini ia akan menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

“Berkonsepkan seni bina dan hiasan mewah dari Moroccan, kita mempunyai 300 bilik penginapan yang pastinya akan memberikan kepuasan serta kelainan kepada tetamu yang menginap di sini,” katanya ketika ditemui media pada Isnin.

Beliau ditemui pada Majlis ‘An Evening In Casablanca’ sempena Pembukaan Bertam Resort and Water Park yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Dalam majlis itu, Ahmad Fuzi turut menyerahkan sijil Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Bertam Resort and Water Park kerana memiliki kolam renang terpanjang dalam sebuah bilik hotel serta penyerahan sumbangan sebanyak RM10,000 daripada resort dan taman tema air itu kepada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang.

Sumber