SkyWorld lancarkan prospektus IPO tingkat potensi perniagaan

SkyWorld lancarkan prospektus IPO tingkat potensi perniagaan

Datuk Roslan Tik dan Datuk Seri Ng Thien Phing semasa majlis pelancaran IPO oleh SkyWorld Development Berhad di The Valley Residences, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Datuk Roslan Tik dan Datuk Seri Ng Thien Phing semasa majlis pelancaran IPO oleh SkyWorld Development Berhad di The Valley Residences, Setiawangsa, Kuala Lumpur.

SYARIKAT pemaju hartanah SkyWorld Development Berhad melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) bersempena dengan cadangan penyenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad untuk meningkatkan potensi perniagaan.

Pengasas SkyWorld dan pengerusi eksekutif bukan bebas, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, pelaksanaan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 208,000,000 saham baharu dan tawaran untuk penjualan 192,000,000 saham sedia ada pada harga 80 sen.

Ujarnya, syarikat telah mengumpul RM166.4 juta dan memperuntukkan RM100.0 juta atau 60.1 peratus daripada hasil yang diperoleh daripada terbitan awam untuk perolehan tanah pembangunan.

“Sebanyak 21.2 peratus dan 12 peratus telah dianggarkan untuk modal kerja bagi pembangunan projek dan pembayaran balik pinjaman bank masing-masing. Baki 6.7 peratus daripada hasil telah diperuntukkan untuk perbelanjaan berkaitan IPO.

“SkyWorld bercadang untuk mengisytiharkan dividen tahunan bersamaan dengan 20 peratus daripada keuntungan selepas cukai boleh diagihkan kepada pemilik syarikat pada asas yang disatukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Thien Phing, SkyWorld telah membuktikan dirinya sebagai pemaju hartanah berpengalaman yang memberikan perumahan berkualiti.

Jelasnya, dengan pelaksanaan IPO tersebut akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam pasaran hartanah dan memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.

“Kami percaya tawaran IPO kami berpotensi untuk meningkatkan operasi perniagaan kami, mencipta nilai untuk pemegang saham kami, dan memberi manfaat kepada prospek jangka panjang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah eksekutif dan ketua perbankan pelaburan kumpulan serta perbankan Islam Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Roslan Tik berkata, latihan IPO yang sesuai merupakan peluang pertumbuhan projek perumahan di Kuala Lumpur memandangkan urbanisasi semakin meningkat.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan kami kepada lembaga pengarah dan pengurusan SkyWorld kerana mempercayai kami, Kenanga Investment Bank Berhad yang berperanan sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk latihan ini,” katanya.

Sumber