Sisa sawit bantu kurangkan plastik berbahaya

Inspirasi Destinasi Menarik Percutian Impian > TRAVELOG > Sisa sawit bantu kurangkan plastik berbahaya

Sisa sawit bantu kurangkan plastik berbahaya

INISIATIF membangunkan penyelidikan sumber bahan boleh diperbaharui dan terurai secara biodegradasi amat diperlukan demi memelihara alam sekitar yang lebih lestari.

Penyelidikan itu cukup signifikan ketika dunia berdepan ancaman impak plastik dan polistirena. Apalagi hasil toksik daripada bahan itu membahayakan kehidupan selain menyumbang kepada penipisan ozon.

Merujuk kepada Malaysia khususnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan kira-kira lebih 37,800 tan sisa sampah dibuang setiap hari. Sekurang-kurangnya 1.17 kilogram (kg) sisa buangan dihasilkan bagi setiap individu.

Daripada jumlah itu, sisa kertas mencatat pengeluaran terbanyak iaitu 17 peratus. Sumber buangan kedua terbesar pula ialah plastik iaitu sembilan peratus. Biarpun di tangga kedua, sisa plastik wajar dibimbangkan.

Masakan tidak, plastik dan polistirena mengambil masa 500 tahun untuk mereput! Sifatnya yang tidak boleh terurai dan dibuang secara tidak terkawal ketika ini menimbulkan kebimbangan ramai.

Prihatin permasalahan itulah yang mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) merintis kajian terhadap nanoselulosa biomas kelapa sawit yang dikenal pasti sebagai agen mesra alam.

Penyelidikan berkenaan diketuai oleh Profesor Madya Dr Hidayah Ariffin bersama Profesor Datuk Dr Mohd Ali Hassan, Liana Noor Megashah, Dr Mohd Nor Faiz Norrrahim dan Dr Tengku Arisyah Tengku Yasim Anuar.

DR Hidayah (dua dari kanan) bersama mantan Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris (tiga dari kanan) dan Pengarah urusan NGPP, Datuk Lim Thiam Huat sempena 7th International Symposium on Applied Engineering and Sciences 2019 (SAES2019).

DR Hidayah (dua dari kanan) bersama mantan Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris (tiga dari kanan) dan Pengarah urusan NGPP, Datuk Lim Thiam Huat sempena 7th International Symposium on Applied Engineering and Sciences 2019 (SAES2019).

Keistimewaan

Mula dijalankan sejak 2013 sehingga sekarang, kajian itu menerima pembiayaan berbentuk geran daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, UPM dan Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS), Jepun.

Menariknya, fitur baharu berkaitan biojisim kelapa sawit tersebut turut menerima kerjasama daripada Kyushu Institute of Technology, Jepun sekali gus membanggakan negara.

Jika sebelum ini sisa sawit hanya dipandang sebelah mata, malah barangkali ramai pekebun melupuskannya dengan cara membakarnya, kini sebahagian tempat tidak lagi mengamalkannya.

Apa tidaknya, Dr Hidayah yang juga Timbalan Pengarah Institut Perhutanan Tropika Dan Produk Hutan (INTROP) UPM menjelaskan, nanoselulosa dihasilkan daripada mesokarp kelapa sawit, tandan buah kosong dan pelepah kelapa sawit ada ‘ajaibnya’.

“Kesemua bahan itu kaya dengan selulosa. Nanoselulosa pula adalah selulosa yang mempunyai saiz diameter di bawah lingkungan 100 nanometer (nm) dengan sifat yang istimewa.

“Hasil kajian kami mendapati nanoselulosa memiliki sifat yang kuat. Kehablurannya tinggi, permukaan luas dan diekstrak daripada sumber boleh diperbaharui serta biodegradasi,” bicaranya.

Mengulas lanjut, sifat istimewa tersebut menjadikan nanoselulosa sangat sesuai digunakan untuk pelbagai industri termasuk plastik pembungkusan makanan mesra alam.

Nanoselulosa boleh dijadikan sebagai bahan tambahan untuk produk plastik, bahan komposit, makanan, kosmetik serta farmaseutikal bagi meningkatkan ciri produk yang dihasilkan, kata Dr Hidayah.

“Oleh yang demikian, fitur baharu tersebut dapat menggantikan penggunaan bahan kimia yang sedia ada dalam meningkatkan kualiti sesuatu bahan,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

SISA tandan kelapa sawit kosong mempunyai selulosa yang boleh dijadikan nanoselulosa sebagai bahan aditif pembuatan plastik mesra alam.

SISA tandan kelapa sawit kosong mempunyai selulosa yang boleh dijadikan nanoselulosa sebagai bahan aditif pembuatan plastik mesra alam.

Nanoselulosa yang digunakan sebagai bahan aditif kerana mempunyai sifat kekuatan yang sangat baik boleh ditambah ke dalam mana-mana produk bersifat industri komersial.

Terang Dr Hidayah, fungsinya boleh meningkatkan sifat bahan tersebut merangkumi pelbagai aspek seperti kekuatan mekanikal, kelikatan, sifat terma dan penghabluran.

Nilai komersial

“Sebagai contoh berdasarkan penemuan semasa, penambahan satu peratus nanoselulosa kepada polipropilena (polimer termoplastik) meningkatkan kekuatan mekanikal kepada 33 peratus berbanding dengan polipropilena yang asli.

“Sementara itu, penambahan tiga peratus nanoselulosa kepada polietilena (komoditi termoplastik) juga menunjukkan peningkatan terhadap kekuatan lenturan kepada hampir 200 peratus,” ujarnya lagi.

Seperkara tentang metode penghasilan produk, Dr Hidayah berkata, nanoselulosa daripada selulosa melalui kaedah pemprosesan mekanikal berteknologi tinggi.

Melalui teknologi itu, nanoselulosa daripada pulpa biomas sawit dapat dihasilkan secara cepat, mudah dan bebas penggunaan bahan kimia.

“Saiz nanoselulosa yang diperoleh daripada kaedah ini adalah dalam lingkungan 10 sehingga 50 nanometer (nm) yang mana setanding dengan nanoselulosa yang diperoleh daripada kaedah lain sedia ada,” ujarnya.

Ditanya mengenai faktor utama pemilihan sumber semula jadi berkenaan, ketua penyelidik itu menjelaskan bahawa nanoselulosa telah pun disenaraikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 di bawah penyelidikan strategik.

PENYELIDIKAN nanoselulosa yang berjaya diproses boleh digunakan dalam beberapa aplikasi iaitu pembuatan plastik pembungkusan, produk kosmetik dan farmaseutikal.

PENYELIDIKAN nanoselulosa yang berjaya diproses boleh digunakan dalam beberapa aplikasi iaitu pembuatan plastik pembungkusan, produk kosmetik dan farmaseutikal.

Pengkomersialan bahan tersebut dipercayai dapat meningkatkan ekonomi negara dalam pelbagai aspek seperti penghasilan plastik, pembungkusan, komposit, makanan, kosmetik dan bidang kesihatan.

“Kami percaya penggunaan bahan mentah daripada sisa buangan itu akan memberikan nilai tambah kelapa sawit, bahkan teknologi terkini dibangunkan membolehkan lebih banyak bahan diproses pada masa sama,” katanya.

Lagi menarik mengenai potensi nanoselulosa, Dr Hidayah menerangkan, produk baharu itu boleh digunakan dalam beberapa aplikasi lain iaitu bahan pembuatan bahagian kenderaan, pemprosesan kertas, cat, pelapis dan penyelidikan yang berkaitan.

Padanlah sasaran pengguna inovasi itu ialah syarikat pembuatan bahan plastik, pembinaan, industri kertas, industri cat, penjagaan kesihatan, produk farmaseutikal, aerogel dan penyelidik institusi pengajian tinggi.

Sumber