Sepuluh Tahun Terpisah, Lima Sahabat Kembali Bersatu Menerusi Teaser Pertama RAJAKKAL

Lima sahabat, sepuluh tahun terpisah dan satu pertemuan semula yang menyimpan pelbagai persoalan. Itulah gambaran awal yang diperlihatkan menerusi teaser pertama filem RAJAKKAL, terbitan Shaiz Films.

Teaser tersebut menampilkan potongan babak pantas yang memperkenalkan lima watak utama, sekali gus mencetuskan rasa ingin tahu tentang perkara yang membawa mereka kembali bersama selepas sekian lama membawa haluan masing-masing.

Walaupun belum mendedahkan keseluruhan jalan cerita, teaser berkenaan memberikan bayangan tentang sebuah kisah persahabatan, kenangan dan pertemuan semula yang mungkin membawa lebih banyak kejutan.

Filem cereka sulung Shaiz Films ini ditulis dan diarahkan oleh C. Martin Raj. Ia menampilkan Irfan Zaini sebagai Kutty, Ravin Rao Santheran sebagai Puli, Thevaguru Suppiah sebagai Saami dan mendiang Parvin Nair Surendran sebagai Gaja. Martin turut membawakan watak Papa bagi melengkapkan kumpulan lima sahabat tersebut.

Namun, RAJAKKAL turut membawa makna yang lebih mendalam kepada barisan produksi susulan pemergian Parvin. Menurut Martin, filem ini pada asalnya dibangunkan sebagai sebuah cerita tentang persahabatan dan kenangan, sebelum menjadi lebih bermakna buat seluruh pasukan selepas kehilangan pelakon berkenaan.

Martin menyifatkan Parvin sebagai seorang sahabat yang memberikan sepenuh hati dalam menghidupkan watak Gaja. Baginya, filem ini menjadi satu cara untuk penonton mengenali Parvin melalui watak yang dibawanya, selain menjadi kenangan istimewa buat mereka yang pernah rapat dengannya.

Penerbit Eksekutif, Thulasy Paramanandam, pula berharap kisah ini dapat mengingatkan penonton tentang hubungan persahabatan yang sering terhalang oleh kesibukan kehidupan. Beliau menyatakan bahawa ramai mempunyai sahabat yang sering dirancang untuk ditemui semula, namun pertemuan itu akhirnya tertangguh.

Menerusi filem pertama mereka, Shaiz Films mahu mengetengahkan cerita yang dekat dengan pengalaman ramai orang dan mendorong penonton untuk kembali menghubungi sahabat lama.

Teaser pertama RAJAKKAL kini boleh ditonton menerusi https://youtu.be/uwjvRHyK0l4. Treler rasmi pula dijangka menyusul dalam masa terdekat.

Filem ini diterbitkan bersama Shaiz Films dan Dee Jam Studio, serta diedarkan oleh Komet Productions. RAJAKKAL dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 10 Disember 2026, dalam bahasa Tamil dengan sarikata Bahasa Malaysia.