Fenomena Kutipan RM20 Juta Filem KUDRAT 1968: High Council
Fenomena KUDRAT 1968: High Council terus mencuri perhatian apabila filem terbitan Astro Shaw itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM20 juta setakat ini, sekali gus membuktikan sambutan hangat penonton terhadap francais High Council.
Sejak mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 29 Oktober lalu, filem ini terus menjadi antara karya yang hangat diperkatakan. Kejayaan tersebut didorong oleh kekuatan jalan cerita, barisan pelakon berbakat serta sokongan berterusan peminat yang dikenali sebagai KUDRATICS.
Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif KUDRAT 1968: High Council, Raja Jastina Raja Arshad, menzahirkan rasa syukur atas pencapaian kutipan RM20 juta itu. Menurut beliau, kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan sambutan penonton, malah menunjukkan perkembangan dunia High Council dalam Astro Shaw Cinematic Universe.
Beliau turut menghargai sokongan peminat menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan, termasuk House of KUDRAT 2.0 serta siri jelajah bertemu peminat di kawasan Selatan dan Utara tanah air yang berlangsung pada hujung minggu lalu.
Kehadiran ribuan peminat yang sanggup datang dari jauh untuk bertemu barisan pelakon menjadi antara bukti kuat sokongan terhadap francais tersebut. Malah, Astro Shaw merancang untuk meneruskan siri jelajah ke Pantai Timur dan seterusnya ke Borneo, selain menyediakan pelbagai inisiatif menarik khas buat KUDRATICS.
Konflik Kuasa, Persahabatan dan Kesetiaan Jadi Taruhan dalam KUDRAT 1968: High Council
Dibintangi Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith, KUDRAT 1968: High Council membawa penonton menyelami konflik yang lebih besar dalam dunia High Council.
Filem arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff ini mengetengahkan pertarungan melibatkan kuasa, persahabatan dan kesetiaan yang menjadi taruhan dalam jalan ceritanya.
Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw bersama ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures, HM Entertainment dan Golden Screen Cinemas, manakala produksi dikendalikan oleh PASAL Productions.
Dengan kutipan RM20 juta yang berjaya dicapai, fenomena KUDRAT 1968: High Council membuktikan kekuatan sokongan peminat terhadap francais ini masih berterusan. Penonton yang ingin mengikuti perkembangan terkini boleh mendapatkan maklumat menerusi akaun media sosial rasmi Astro Shaw.













