Lima dekad perjalanan seni Datuk M. Nasir bakal diraikan menerusi konsert dokumentari muzikal MAGNUM OPUS – M. NASIR Dekad Ke-5 (MOMND5) yang berlangsung pada 5 Disember 2026 di Panggung Sari, Istana Budaya.
Bermula jam 8.00 malam, persembahan ini membawa penonton menyelami perjalanan muzik seorang seniman yang telah memberikan pengaruh besar terhadap perkembangan seni dan muzik Nusantara.
MAGNUM OPUS membawa maksud himpunan karya-karya terpenting seseorang seniman, sama ada dalam bidang penulisan, muzik, seni halus mahupun filem. Bertepatan dengan namanya, konsert ini menghimpunkan 35 gubahan lagu ikonik ciptaan M. Nasir yang akan diberikan susunan muzik orkestra oleh Mohd Rafi Shafie.
Persembahan turut menampilkan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan Eric Lee serta kumpulan Gong. Gabungan ini diharap dapat mengangkat semula karya-karya berpengaruh M. Nasir dalam pengalaman muzikal yang lebih besar dan istimewa.
Perjalanan MAGNUM OPUS bermula daripada gagasan ilmiah dan wacana budaya. Edisi pertamanya dianjurkan pada 2017 menerusi KEMBARA dan album SOLO, sebelum diteruskan pada 2019 dengan tema Search & Wings dan rock ‘n’ roll.

Bagi edisi kelima ini, penganjur berharap persembahan tersebut dapat terus memelihara warisan muzik Melayu serta memberikan inspirasi kepada generasi pemuzik dan komposer muda.
Sambutan peminat juga amat memberangsangkan apabila 90 peratus tiket telah terjual. Tiket yang masih tersedia boleh dibeli melalui www.ilassotickets.com, dengan harga antara RM288 hingga RM1,588 mengikut kategori.
MAGNUM OPUS bukan sekadar meraikan sebuah konsert, tetapi turut menjadi penghormatan kepada perjalanan lima dekad seorang tokoh seni yang terus meninggalkan kesan dalam industri muzik tempatan.













