Ringgit teruskan peningkatan berbanding dolar AS

Ringgit teruskan peningkatan berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada hari dagangan ketiga berturut-turut. - Gambar hiasan

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada hari dagangan ketiga berturut-turut. – Gambar hiasan

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari dagangan ketiga berturut-turut berikutan jangkaan bahawa Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan AS akan menurunkan peningkatan kadar faedah daripada 50 mata asas (bps) kepada 25 bps dalam mesyuaratnya pada minggu depan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan terus meningkat kepada 4.2510/2600 berbanding dolar AS daripada 4.2575/2625 sewaktu ditutup pada Rabu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, di sebalik sekali lagi kelemahan dolar AS dalam mata wang G10, tukaran asing (forex) Asia akan meraih manfaat berikutan kedudukan awal pasaran forex yang lebih luas bagi penurunan kadar faedah oleh FOMC yang dijangka membantu sentimen risiko global.

“Selain itu, pasaran China terus mendahului persaingan dan keadaan ini menyokong pasaran risiko serantau.

“Sehubungan itu, vendor forex tempatan menetapkan harga dalam ringgit yang kukuh berikutan jangkaan bahawa pengembara China akan kembali dan penambahbaikan yang berterusan bagi perjalanan antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz pula berkata Malaysia telah mempamerkan angka kukuh dengan kadar pengangguran pada 3.6 peratus dan inflasi di bawah kawalan pada 3.8 peratus yang menyokong unjuran pasaran tempatan selaku destinasi yang baik bagi pelaburan tempatan.

“Dari sudut teknikal, dolar AS/ringgit menghampiri lingkungan paras sokongan pada 4.2400. Sekiranya harga tersebut berjaya melepasi sokongan ini, ia boleh merosot kepada 4.1700 dan ia sewajarnya mendapatkan sokongan yang lebih penting,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2371/2442 daripada 3.2352/2392 sewaktu ditutup pada Rabu dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.2734/2845 daripada 5.2418/2480 sebelum ini.

Ia turut menguncup berbanding euro kepada 4.6400/6498 daripada 4.6322/6376 semalam dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.2892/2964 daripada 3.2790/2831. – Bernama

Sumber