Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

RINGGIT meneruskan peningkatannya berbanding dolar AS bagi hari kedua berturut-turut, didorong oleh peningkatan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi global serta harga minyak yang lebih baik, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit ditutup tinggi pada 4.2700/2750 berbanding 4.2710/2770 sewaktu ditutup pada Selasa.

Menurut peniaga, minat risiko ke atas mata wang pesat membangun termasuk ringgit kembali pulih susulan perkembangan positif dalam pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) – China.

Presiden AS, Donald Trump memberi jaminan bahawa perjanjian perdagangan Washington-Beijing ‘kukuh sepenuhnya’ dan berharap China ‘akan terus menepati syarat perjanjian.’

Sementara itu, penanda aras minyak mentah antarabangsa Brent naik 0.16 peratus kepada AS$42.70 setong (0644 GMT) namun jatuh kepada AS$42.13 setong setakat ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0744/0791daripada 3.0671/0723 pada Selasa dan susut berbanding yen Jepun kepada 4.0083/0141 daripada 3.9875/9942 semalam berikutan permintaan ke atas mata wang itu sebagai mata wang selamat yang semakin meningkat.

Unit tempatan turun berbanding pound Britain kepada 5.3413/3493 daripada 5.3165/3261 dan susut berbanding euro kepada 4.8255/8329 daripada 4.8203/8283 sebelum ini.- Bernama





Sumber