Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS selepas bergerak dalam julat terhad pada Isnin disebabkan aktiviti dagangan yang lengang. - Gambar hiasan

Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS selepas bergerak dalam julat terhad pada Isnin disebabkan aktiviti dagangan yang lengang. – Gambar hiasan

RINGGIT ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS selepas bergerak dalam julat terhad pada Isnin disebabkan aktiviti dagangan yang lengang, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu didagangkan tinggi sedikit pada 4.4190/4240 berbanding dolar AS daripada 4.4250/4305 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini kerana perhatian telah beralih ke arah sektor perbankan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kerana bank-bank pusat telah memperlahankan kenaikan kadar faedah mereka.

“Ringgit mungkin bergerak jauh lebih tinggi memandangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) telah memperlahankan kenaikan kadarnya.

“Nampaknya keadaan (krisis perbankan) terkawal memandangkan kesediaan pihak ketiga untuk mengambil alih bank yang terjejas,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata, pasaran masih menilai keadaan semasa.

Dilaporkan minggu lepas bahawa peminjaman bank dalam diskaun Fed meningkat dengan mendadak kepada AS$117 bilion, lebih tinggi daripada paras minggu sebelumnya sebanyak AS$32 bilion dan melepasi AS$112 bilion yang dicatatkan semasa krisis gadai janji.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu jatuh berbanding euro kepada 4.7579/7633 daripada 4.7476/7535 ketika ditutup pada Jumaat dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4159/4221 daripada 5.4034/4101 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3612/3653 daripada 3.4099/4144 minggu lepas.

Berbanding mata wang Asean, ringgit didagangkan lebih tinggi.

Ia meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 291.30/291.90 daripada 291.90/292.50 pada Jumaat lepas dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.3151/3191 daripada 3.3178/3225 sebelumnya.

Mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8236/8440 daripada 12.9610/9835 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.14/8.15 daripada 8.15/8.16 sebelumnya. – Bernama

Sumber