Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan minat belian di tengah-tengah permintaan yang menyusut ke atas dolar AS menjelang mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB) pada Khamis, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.4480/4510 daripada dolar AS berbanding 4.4520/4550 sewaktu ditutup pada Isnin.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, jangkaan bahawa ECB akan mempertimbangkan kenaikan kadar sebanyak 50 mata asas (bps) untuk mengurangkan inflasi yang tinggi, telah merangsang permintaan terhadap ringgit.

“ECB pada asasnya telah mengumumkan sebelum ini kenaikan 50 bps yang mengukuhkan euro pagi ini dan melemahkan dolar AS secara menyeluruh.

“Euro yang lebih kukuh mempunyai kesan positif ke seluruh pasaran mata wang — boleh dikatakan kuat daya penariknya,” katanya kepada Bernama.


Beliau berkata, apabila pasaran menetapkan kenaikan kadar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) sebanyak 75 bps berbanding kenaikan 100 bps, ia sekali gus turut memberi sedikit kelegaan kepada ringgit.

Menurut satu laporan, Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka melaksanakan kenaikan kadar 0.75 peratus lagi pada lewat bulan ini dan dilaporkan bergantung kepada peningkatan sebanyak 100 bps walaupun laporan Indeks Harga Pengguna Jun mencatatkan prestasi kukuh.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1943/1966 berbanding 3.1884/1908 pada Isnin dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2323/2347 daripada 3.2203/2227 sebelum ini.

Malah, ia turut menyusut berbanding pound Britain kepada 5.3478/3514 daripada 5.3326/3362 semalam dan berkurangan berbanding euro kepada 4.5592/5623 daripada 4.5223/5254. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber