Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto123RF

Gambar hiasan – Foto123RF

RINGGIT mengurangkan kenaikan sebelum ini untuk ditutup hampir mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu di tengah-tengah sentimen berhati-hati menjelang keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar dasar semalaman (OPR), yang akan diumumkan Khamis.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan penganalisis menjangkakan bank pusat bakal mengekalkan OPR pada kadar 3.0 peratus.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.6485/6555 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6480/6525 semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, ringgit diniagakan lemah sedikit hari ini, berikutan data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkhidmatan Caixin China untuk Jun yang lebih lemah daripada jangkaan.

“Data yang lebih lemah itu menunjukkan sektor perkhidmatan semakin perlahan di China, menghasilkan kesan negatif untuk sentimen saham Asia dan pasaran mata wang.

“Selain pertumbuhan China yang lebih lemah, ketegangan geopolitik yang berterusan dan kebimbangan mengenai pemisahan AS-China juga menjejaskan prospek mata wang tempatan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur juga akan memberi tumpuan kepada minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) ketika peserta pasaran mencari bukti kemungkinan berlakunya perubahan dalam pendirian dasar monetari.

“Dalam pada itu, pasaran terus kekal defensif walaupun data yang semakin lemah berkemungkinan mengubah arah dasar monetari,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.9101/9190 daripada 5.9016/9073 pada Selasa, lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2221/2272 daripada 3.2184/2217, tetapi meningkat berbanding euro kepada 5.0641/0717 daripada 5.0654/0703.

Ia juga diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean. Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4380/4437 daripada 3.4458/4494 pada Selasa tetapi merosot sedikit berbanding baht Thailand kepada 13.3237/3510 daripada 13.3230/3420.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.41 daripada 8.41/8.42 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 309.4/310.1 daripada 309.9/310.4 sebelumnya. – Bernama

Sumber