Ringgit dijangka teruskan aliran meningkat minggu depan

Ringgit dijangka teruskan aliran meningkat minggu depan

Ringgit dijangka meneruskan aliran meningkatnya pada minggu depan di tengah-tengah sentimen global yang bertambah baik. - Gambar hiasan

Ringgit dijangka meneruskan aliran meningkatnya pada minggu depan di tengah-tengah sentimen global yang bertambah baik. – Gambar hiasan

RINGGIT dijangka meneruskan aliran meningkatnya pada minggu depan di tengah-tengah sentimen global yang bertambah baik, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pembukaan semula sempadan China dan momentum positif yang berterusan dijangka terus memberi rangsangan kepada ekonomi tempatan, terutamanya sektor pelancongan dan perkhidmatan.

“Kedatangan semula pelancong China seharusnya memberi prospek yang positif kepada ekonomi Malaysia, manakala eksport minyak dan gas negara dijangka meningkat kerana China perlu menambah semula pelbagai jenis bahan api.

“Kami menjangka ringgit diniagakan dalam jajaran kecil antara paras 4.2175 dan 4.2475 minggu depan tetapi untuk melepasi ambang 4.20, data ekonomi perlu meningkat dengan ketara, terutamanya dengan lonjakan penggunaan di China,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, kata Innes, para pelabur akan memantau rapat mesyuarat dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan minggu depan bagi mencari petunjuk mengenai kenaikan kadar faedah.

“Ada kemungkinan FOMC akan mengambil langkah mengejut menaikkan lagi kadar faedah,” katanya.

Ringgit ditutup tinggi pada minggu yang baru berakhir ini apabila sentimen pasaran bertambah baik yang disokong oleh faktor domestik dan global, ditambah dengan peningkatan harga minyak mentah.

Bagi asas mingguan, ringgit ditutup kukuh pada 4.2410/2475 pada Jumaat berbanding paras 4.2830/2875 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan juga mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama berbanding minggu sebelumnya.

Ringgit ditutup tinggi berbanding pound Britain kepada 5.2453/2533 daripada 5.2861/2916, naik berbanding euro kepada 4.6159/6230 daripada 4.6393/6442, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2658/2711 daripada 3.3073/3111 dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2280/2332 daripada 3.2386/2425. – Bernama

Sumber