Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati berbanding dolar AS

Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati berbanding dolar AS

RINGGIT dijangka menyaksikan dagangan lebih berhati-hati namun cenderung mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, menjelang keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) berkaitan dasar monetari.

Ketua Ekonomi Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran dijangka terus bertahan dalam tempoh menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada minggu depan.

Beliau berkata, susulan tindakan Bank Pusat Eropah (ECB) menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada minggu ini, dinamik sama juga boleh dijangkakan daripada pihak FOMC.

“Kita boleh menjangkakan kenaikan sebanyak 25 mata asas. Namun, lebih daripada itu, bergantung kepada naratif Fed yang berkemungkinan boleh menjurus kepada peningkatan ringgit.

“Bagaimanapun, keadaan pasaran masih lancar yang boleh menimbulkan mod mengelak risiko. Jika itu berlaku, ini hanya meningkatkan dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, perbandingan dolar AS-ringgit berkemungkinan terarah kepada paras rintangan segera pada 4.4652 minggu depan.

Dalam pada itu, ringgit mengakhiri minggu ini dengan lebih mengukuh berbanding dolar AS berikutan kebimbangan mengenai berlakunya krisis perbankan selepas dua bank negara maju itu berdepan masalah.

Dari seri perbandingan mingguan, ringgit juga lebih mengukuh berbanding dolar AS pada 4.4850/4880 pada Jumaat daripada 4.5180/5220 dalam minggu sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama berbanding minggu sebelum ini.

Ia susut berbanding pound Britain pada 5.4390/4426 daripada 5.4148/4196 seminggu sebelumnya dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.3679/3704 daripada 3.3038/3070, namun meningkat berbanding euro kepada 4.7743/7775 daripada 4.7823/7865 sebelum ini.

Berbanding unit negara-negara Asean, ringgit kebanyakannya diniagakan bercampur-campur.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3393/3418 daripada 3.3316/3351 pada minggu sebelumnya dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0987/1151 daripada 12.8894/9064

Ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 292.20/292.60 daripada 292.30/292.80 seminggu sebelumnya dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.19/8.20. – Bernama

Sumber