POP MART buka cawangan pertama di Malaysia

POP MART buka cawangan pertama di Malaysia

SYARIKAT hiburan berasaskan watak pemimpin pasaran yang terkenal dengan kotak misterinya, POP MART membuka cawangan pertamanya di Malaysia yang terletak di Pavilion Kuala Lumpur.

Presiden POP MART Global, Justin Moon berkata, Malaysia ialah pasaran terbaharu di rantau ini yang menjadi tumpuan POP MART selepas jenama tersebut bertapak di Singapura pada 2021.

“POP MART telah menceburi pasaran Malaysia buat pertama kali pada awal 2021 menerusi gedung e-dagang rentas sempadan. Dalam tempoh dua tahun lepas, syarikat telah mengembangkan pasaran Malaysia dalam usaha membina landasan yang kukuh bagi membuka gedung fizikal tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Sabtu, Justin bersama Pengarah POP MART South Asia Pte Ltd, Tan Tong Hong, Pengurus Besar POP MART Malaysia Sdn Bhd, Max Tan dan Pengarah Kanan, Bahagian Penyewaan Pavilion KL, Lovell Ho telah telah merasmikan pembukaan cawangan baharu itu.

Menurutnya, pembukaan gedung Malaysia membuka lembaran baharu dalam peluasan perniagaan POP MART di Asia Tenggara dan Malaysia berpotensi besar sebagai sebuah pasaran utama selepas Singapura.

“Kedua-dua negara mempunyai budaya tempatan yang sebanding dan juga pasaran pengumpul koleksi mainan seni yang agak besar. Kami boleh memanfaatkan pencapaian kami di Singapura untuk membina operasi di Malaysia dengan potensi meluaskan perniagaan ke negara-negara jiran yang lain,” katanya.

Antara koleksi yang terdapat di POP MART yang terletak di Pavilion Kuala Lumpur. Gambar kecil: Justin Moon

Antara koleksi yang terdapat di POP MART yang terletak di Pavilion Kuala Lumpur. Gambar kecil: Justin Moon

Justin berkata, POP MART bercadang untuk terus meluaskan pasaran Malaysia dengan membuka banyak gedung fizikal dan mesin layan diri (robo shop) di lokasi-lokasi utama di Malaysia, selain daripada saluran dalam taliannya.

“Sejak melancarkan perniagaan globalnya pada 2018, POP MART sentiasa memberi keutamaan kepada pasaran Asia Tenggara. Kebanyakan jenama China yang menceburi pasaran luar negara, Asia Tenggara adalah salah satu daripada pasaran utama buat mereka.

“Negara-negara Asia Tenggara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, penggunanya mempunyai kuasa beli yang besar dan ruang pasarannya agak luas,” katanya.

Beliau berkata, tahap pelaburan yang tinggi disertakan oleh sokongan kukuh bagi perusahaan yang dibiayai pelabur asing telah mewujudkan persekitaran perniagaan yang mantap.

“Pasaran Asia Tenggara ialah pasaran yang patut diterokai, dari segi potensi perniagaan di dalam atau di luar talian. Kami bermula di Singapura dan kini menceburi pasaran Malaysia.Kami berharap untuk terus meluaskan pasaran kami di Asia Tenggara dan membina rangkaian jualan di dalam dan di luar talian, dengan menyesuaikan sepenuhnya kepada budaya tempatan,” ujarnya.

Gedung POP MART Pavilion KL seluas 146 meter persegi ini telah direka bentuk untuk menarik hati golongan muda dewasa dan milenial dengan lampu warna RGB berubah-ubah di pintunya dengan hiasan dalaman yang berwarna-warni serta menarik perhatian.

Rangkaian barangan di POP MART Malaysia termasuk produk edisi terhad bagi peminat tempatan seperti DIMOO Mango Jelly (Jeli Mangga) Plus, SKULLPANDA Dark Maid Edisi Terhad 100 peratus, Labubu Shepherd Edisi Terhad 100 peratus dan bahan koleksi popular lain.

POP MART juga meraikan satu lagi detik penting hari ini, iaitu hari jadi DIMOO, salah satu IP (harta intelek) utama dan watak paling disayangi jenama ini.

Para peminat boleh menebus pelbagai cenderahati DIMOO dengan pembelian yang dibuat dan menjadi antara yang pertama di rantau ini untuk memiliki Siri Retro DIMOO, yang dibawakan secara eksklusif di POP MART Pavilion KL hari ini.

Sumber