PKNS, Samsung meterai MoU, beri nilai tambah kepada pembeli

PKNS, Samsung meterai MoU, beri nilai tambah kepada pembeli

Mahmud (kiri) bersama Denny ketika majlis menandatangani MoU antara PKNS dan Samsung Malaysia Electronics di Ibu Pejabat PKNS pada Khamis. - Foto ROSLI TALIB/SINAR HARIAN

Mahmud (kiri) bersama Denny ketika majlis menandatangani MoU antara PKNS dan Samsung Malaysia Electronics di Ibu Pejabat PKNS pada Khamis. – Foto ROSLI TALIB/SINAR HARIAN

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengadakan kerjasama dengan Samsung Malaysia Electronics bagi memberikan nilai tambah kepada pembeli hartanahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) ini merupakan satu lagi usaha bagi memastikan PKNS dapat memberikan kediaman selesa, moden serta dilengkapi peralatan terkini.

Menurutnya, dengan menggabungkan kepakaran dua organisasi, perkongsian ini boleh mencipta tawaran baharu yang mampu mencipta impak dan nilai yang lebih besar.

“Pelanggan boleh mendapat harga diskaun untuk pakej peralatan rumah berkualiti yang dimulakan dengan projek rumah teres dua tingkat, Puteri Ariana di Kota Puteri, Batu Arang.

“Saya yakin pelanggan kami juga mahukan peralatan yang berkualiti dengan harga mampu milik untuk rumah baharu dan pastinya jenama Samsung menjadi pilihan kerana produknya yang berkualiti tinggi,” katanya ketika sidang akhbar majlis menandatangani MoU di Ibu pejabat PKNS Shah Alam pada Khamis.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Mahmud mewakili PKNS, manakala Samsung Malaysia Electronics diwakili oleh Presidennya, Denny Kim.

Tambah Mahmud, peranan PKNS dalam sektor perumahan melangkaui sekadar kemampuan dan pembiayaan.

“PKNS bukan sahaja menyediakan perumahan yang sistematik dan mampan yang dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan yang berkualiti, tetapi juga membolehkan pembeli rumah memiliki produk berjenama.

“Peti sejuk, televisyen, penghawa dingin adalah keperluan pada masa kini, jadi kerjasama ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada pelanggan menggunakan produk berkualiti dan diyakini,” katanya.

Sementara itu, Denny di dalam ucapannya amat berbesar hari dengan kesediaan PKNS untuk bekerjasama dengan Samsung.

“PKNS juga merupakan syarikat pemaju hartanah terbesar di Malaysia sudah pasti Samsung juga tidak mahu ketinggalan dalam merealisasikan impian rakyat Malaysia yang menyokong kami selama ini,” ujarnya.

Sumber