Pembeli rumah PKNS ditawar diskaun produk Samsung mulai 1 Oktober

Pembeli rumah PKNS ditawar diskaun produk Samsung mulai 1 Oktober

Suhaimi (dua dari kiri) diberi penerangan ketika melawat ruang pameran pada Majlis Pelancaran Home Buyer sempena Kempen Discover PKNS yang berlangsungkan di Kompleks PKNS pada Sabtu. - FOTO SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Suhaimi (dua dari kiri) diberi penerangan ketika melawat ruang pameran pada Majlis Pelancaran Home Buyer sempena Kempen Discover PKNS yang berlangsungkan di Kompleks PKNS pada Sabtu. – FOTO SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM – Pembeli hartanah di bawah projek pembangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berpeluang menikmati diskaun sehingga 25 peratus bagi pembelian produk perkakas rumah jenama Samsung.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Keusahawanan) PKNS, Suhaimi Kasdon berkata, tawaran diskaun eksklusif itu akan bermula pada 1 Oktober ini sebagai tanda penghargaan kepada pembeli yang menyokong projek pembangunan PKNS.

“Pembeli bukan hanya dapat memiliki rumah tetapi juga berpeluang menggunakan produk Samsung yang terbukti mempunyai kualiti terbaik.

“Pembeli rumah PKNS boleh melayari laman web khas www.pknshomebuyers.my bagi mengetahui lebih lanjut mengenai diskaun ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Home Buyer di Kompleks PKNS Shah Alam pada Sabtu.

Beliau berkata, Home Buyer merupakan sebahagian daripada program Discover PKNS sempena menyambut ulang tahun PKNS ke-59 dengan Shah Alam merupakan lokasi keempat selepas Kota Puteri, Antara Gapi dan Bangi

“Beberapa aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat antaranya Discover PKNS Race disertai 100 pasukan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM5,900.

“Turut diadakan cabutan bertuah beserta pameran hartanah projek pembangunan PKNS yang sedang berjalan antaranya Puteri Ariana Kota Puteri dan Residensi Advena, Seksyen 16 Shah Alam,” katanya.

Tambahnya, konsultasi percuma juga disediakan selain pembeli PKNS juga berpeluang membeli pakej perhiasan dapur termasuk kelengkapan kabinet serendah RM5,900.

Dalam pada itu beliau berkata, PKNS yakin sasaran membina 5,000 unit rumah melibatkan enam projek seluruh negeri mampu dicapai menjelang akhir tahun.

“Pembangunan ini melibatkan projek rumah teres dua tingkat dan pangsapuri di Shah Alam, Kota Puteri, Selangor Cyber Valley serta Antara Gapi yang dalam proses pembinaan.

“Selain itu, sebanyak 70 peratus unit Puteri Ariana, Kota Puteri sudah terjual dan terdapat beberapa projek juga akan dilancar pada Oktober ini,” katanya.

Sumber