Optimis jadi peneraju buku pendidikan

Optimis jadi peneraju buku pendidikan

KUMPULAN Penerbitan Pelangi optimis menjadi peneraju syarikat penerbitan pendidikan di Asia Tenggara sekali gus membantu meningkatkan tahap pendidikan di rantau ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Samuel Sum Kown Cheek berkata, selari dengan hasrat itu syarikat akan terus mencipta inovasi baharu.

“Selepas 40 tahun mencipta kejayaan, kini syarikat telah menerbitkan buku pendidikan lebih lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina, Thailand, Indonesia, Vietnam dan banyak lagi.

“Misi kami bukan sahaja untuk membantu pelajar menghadapi peperiksaan tetapi turut memberikan komitmen penuh, usaha dan pelaburan untuk pendidikan. Kumpulan Penerbitan Pelangi berusaha gigih untuk menjadi syarikat peneraju pendidikan di Asia Tenggara.

“Tahun 2019 juga dilihat sebagai tahun memberangsangkan bagi kami,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan 40 Tahun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Pada majlis itu, Kown Cheek turut berkongsi kegembiraan apabila berjaya melancarkan Galeri Buku Pelangi pertama di Pejabat Pelangi di Bangi semalam seperti mana yang dihasratkan.

Katanya, jika dahulu pihaknya melihat syarikat itu sebagai pembekal perkhidmatan pendidikan, namun kini hasrat itu dikembangkan untuk memperkukuhkan kepakaran dalam semua sektor pasaran.

“Syarikat juga bercita-cita tinggi dalam membuat perubahan iaitu daripada pendidikan konvensional kepada pendidikan digital.

“Hasrat itu juga selari dengan perkembangan terkini industri pendidikan di seluruh dunia dan juga Malaysian Education Blueprint 2013-2025,” katanya.

Tambahnya, selain memberi fokus kepada usaha meningkatkan mutu terbitan pendidikan, pihaknya tidak melupakan tanggungjawab sosial korporatnya kepada masyarakat.

“Pihak kami mengambil inisiatif dengan menyokong UNESCO World Book Capital 2020 dan Kementerian Pendidikan dalam program Dekad Membaca (#Malaysiamembaca).

“Bagi program ini Kumpulan Penerbitan Pelangi menaja dan menyumbangkan ribuan naskhah buku untuk pelbagai perpustakaan sekolah, perpustakaan komuniti dan organisasi amal setiap tahun.

“Selain itu, pihak kami juga menyumbangkan buku bernilai lebih RM40,000 kepada 40 sekolah orang asli selari dengan agenda kerajaan untuk membantu pendidikan orang asli di negara ini,” katanya.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *