Nikmat hidup makan coklat

Nikmat hidup makan coklat

COKLAT mempunyai kuasa luar biasa. Coklat dikatakan sebagai lambang cinta, keceriaan, penyembuh kesakitan dan membantu mengurangkan depresi.

COKLAT mempunyai kuasa luar biasa untuk kesihatan.

COKLAT mempunyai kuasa luar biasa untuk kesihatan.

Kepada pencinta coklat, rata-ratanya barangkali dapat membezakan coklat yang berkualiti tinggi atau sebaliknya. Justeru, tidak hairan terdapat ratusan jenama coklat terdapat di dunia ini.

Kalau diikutkan, coklat sangat diminati oleh sesiapa sahaja tidak kira tua atau muda. Rasanya yang terlalu enak membuatkan ramai yang jatuh cinta.

Seperti diketahui umum, coklat diperbuat daripada biji koko yang diproses.

Berdasarkan fakta yang dikongsi Lembaga Koko Malaysia (LKM), koko pada asasnya ialah tumbuhan yang mengandungi karbohidrat, protein dan lemak yang diperlukan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, LKM, Dr Ahmad Kamil Mohd Jaaffar, koko mampu menyumbang sumber tenaga untuk proses tumbesaran dan keperluan harian.

DR Ahmad Kamil

DR Ahmad Kamil

“Koko juga kaya dengan bahan mineral seperti magnesium, copper potassium, maganese, sodium, kalsium, iron, phosphorus dan zink. Semua ini berperanan penting dalam fungsi fisiologi tubuh manusia.

“Selain itu, koko memberikan sumber vitamin E dan B kompleks. Lemaknya mengandungi vitamin A dan E. Coklat susu pula diperkaya vitamin tambahan iaitu riboflavin dan vitamin B12,” ujarnya ketika ditemui di Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Dr Ahmad memberitahu, manfaat koko terlalu banyak hingga memberi inspirasi kepada LKM untuk menghasilkan 63 produk penyelidikan. Antaranya ialah kosmetik, produk penjagaan diri, makanan dan minuman yang berpotensi dikomersialkan.

Kebaikan coklat hitam

Daripada banyak jenis coklat, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak, Dr Rizal Abu Bakar ketika diwawancara Sihat:Aktif berkata, coklat hitam atau dark chocolate merupakan paling baik untuk dihadam.

DR Rizal

DR Rizal

“Coklat yang baik untuk dimakan adalah yang mempunyai kandungan nutrisi tinggi. Coklat hitam misalnya ada kandungan nutrisi lebih 70 peratus.

“Antara nutrien penting dalam coklat hitam ialah flavonoids dan antioksidan yang dapat melindungi sel tubuh daripada dirosakkan oleh radikal bebas dan dapat menjauhi penyakit,” kata Dr Rizal.

Terang beliau lagi, terdapat kajian yang mengaitkan pengambilan coklat hitam dapat mengurangkan risiko sebanyak 20 peratus daripada terkena strok dalam kalangan wanita.

Penyelidikan itu telah dijalankan ke atas 33,000 wanita Sweden oleh Division of Nutritional Epidemiology, Karolinska Institute di negara itu.

Hasilnya menunjukkan peserta yang makan coklat hitam dapat menurunkan tekanan darah dan menghalang pembentukan darah beku pada pembuluh darah!

Mengulas lanjut, Dr Rizal berkata, kandungan polyphenols yang terdapat dalam coklat hitam juga boleh menurunkan hormon tekanan seperti kortisol dan epinephrine seperti yang dilaporkan menerusi Journal of the American College of Cardiology pada tahun 2014.

Bahan coklat hitam iaitu anandamide dan phenylethylamine (PEA) dilabel sebagai ‘molekul bahagia’.

COKLAT memberikan sumber vitamin E dan B kompleks.

COKLAT memberikan sumber vitamin E dan B kompleks.

“Dalam otak manusia, ada reseptor yang dikenali marijuana reseptor atau istilah sainsnya, tetrahydrocannabinol reseptor. Secara semula jadi, reseptor itu sudah ada apabila kita makan coklat hitam, akan lahirlah rasa bahagia dan gembira,” katanya,

Menariknya lagi, Dr Rizal memberitahu, pengambilan coklat hitam sebanyak 40 miligram selama dua minggu berturut-turut dipercayai berupaya menurunkan kadar gelisah manusia.

Bukan itu sahaja, hormon stres seperti kortisol, adrenaline dan noradrenaline juga menurun.

Meskipun, coklat bagus untuk kesihatan, tidak bermaksud ia boleh menggantikan ubat atau diambil terlalu banyak.

“Segala-galanya perlu bersederhana,” ujar pakar itu mengenai perihal makanan kegemaran penduduk dunia itu.

Baik untuk otak

Selain Dr Rizal, Pakar Diet Hospital KPJ Pakar Selangor, Koh Nyat Syen juga mempunyai penjelasan berhubung kebaikan coklat kepada kesihatan.

KOH Nyat

KOH Nyat

Sekata dengan Dr Rizal, Nyat Syen tidak menafikan coklat merupakan ‘nikmat hidup’ yang boleh menyuntik perasaan yang positif dan kegirangan.

Biarpun demikian, beliau berkata: “Coklat harus dinikmati sekali-sekala sahaja dalam kuantiti yang munasabah. Kandungan gula dan lemak tepunya amat tinggi. Pengambilan coklat dengan kuantiti yang banyak dan kerap boleh menyebabkan berat badan naik.

“Sebenarnya, badan kita tidak memerlukan coklat. Ia boleh diganti sumber makanan lain yang lebih berkhasiat.”

Mengakui coklat mampu membuatkan seseorang itu rasa bahagia apabila tubuh mengeluarkan hormon endorfin dan serotonin, tambahnya, kandungan koko mengandungi flavanoids.

Justeru, beliau bersetuju khasiatnya boleh mendatangkan kebaikan pada otak dan melindungi sel asid deoksiribonukleik (DNA).

Benar seperti kata pakar tersebut. Tidak semua antara kita suka kepada coklat. Ada sesetengahnya tidak menggemari rasa dan kandungan yang ada pada coklat yang tinggi gula dan lemak serta menyebabkan alahan.

“Individu yang alah pada coklat akan mengeluarkan antibodi IgE yang tinggi. Gejalanya seperti ruam kulit, jerawat, sakit kepala dan sebagainya.

“Oleh itu, pengguna perlu membaca kandungan koko yang terdapat pada label sebelum membuat pilihan. Pengguna juga boleh memilih produk koko yang tiada gula bagi mengatasi masalah kesihatan,” katanya.

Sememangnya coklat hitam yang paling terbaik untuk dihadam ujar pakar tersebut.

Masa yang sesuai untuk mengambil coklat jenis itu pula adalah pada waktu siang.

“Kandungan theobromin yang ada pada coklat dapat meningkatkan tumpuan kepada sesiapa ketika sedang belajar. Selain itu, theobromin juga membantu seseorang tidur lebih lena,” ujarnya.

Kecantikan

RAWATAN muka berasaskan coklat mendapat sambutan tinggi.

RAWATAN muka berasaskan coklat mendapat sambutan tinggi.

Seperti yang disebut pada awal artikel, koko bagus untuk diimplemenkan dalam hal kecantikan. Ia bukan auta kerana Pusat Kecantikan Aishah Radhiah Coklat Spa yang terletak di Bangi, Selangor menggunakan coklat sebagai ramuan utama untuk merawat pelanggannya.

Menurut pemilik spa itu, Nurul Wahida Mat Aron, pihaknya menggunakan coklat dalam rawatan kecantikan disebabkan bahan tersebut mampu untuk mencerahkan dan menggebukan kulit.

“Coklat juga boleh membantu antipenuaan, antikecutan (jerawat), memudarkan jeragat, menegangkan kulit dan wajah. Ia juga melicinkan kulit badan selain mempunyai khasiat daripada vitamin C dan B.

“Kami percaya coklat juga baik sebagai antitekanan. Aromanya yang menenangkan sesuai dengan kaum wanita yang sibuk supaya rasa relaks selepas penat menguruskan aktiviti harian,” kongsi wanita itu.

Menurutnya, penggunaan coklat tidak membahayakan kerana bahannya yang berunsurkan alam semula jadi dan tiada campuran bahan kimia.

Menariknya, ujar Nurul Wahida, penggunaan bahan berasaskan coklat mendapat permintaan yang paling tinggi daripada pelanggannya berbanding jenis rawatan yang lain!

“Coklat harus dinikmati sekali-sekala sahaja dalam kuantiti yang munasabah. Kandungan gula dan lemak tepunya amat tinggi. Pengambil coklat dengan kuantiti yang banyak dan kerap boleh menyebabkan berat badan naik.

Sebenarnya, badan kita tidak memerlukan coklat. Ia boleh diganti sumber makanan lain yang lebih berkhasiat.”Pakar Diet Hospital KPJ Pakar Selangor, Koh Nyat Syen

Pakar diet biasanya akan menyarankan pesakit yang kurang berat badan dan malnutrisi berbahaya seperti kanser menikmati coklat. Makanan atau minuman berasaskan koko dapat membantu stimulasi selera dan menambah baik perisa makanan yang dimakan.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *