McDonald’s Malaysia Sambut Pesta Gawai Bersama Komuniti Sarawak Menerusi Aram Begulai Ngabang Ba Mekdi

McDonald’s Malaysia terus memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat apabila julung kali menyertai sambutan Pesta Gawai menerusi acara Aram Begulai Ngabang Ba Mekdi yang diadakan di restoran McDonald’s Bintulu Pandu-Lalu. Inisiatif ini merupakan usaha untuk menyemarakkan semangat perayaan dan mempererat hubungan dengan masyarakat Sarawak.

Mengangkat budaya kunjung-mengunjung atau ‘ngabang’ yang menjadi tradisi semasa Gawai, restoran McDonald’s Bintulu dihias dengan dekorasi bertemakan perayaan sambil mengalu-alukan kehadiran para pelanggan untuk bersama-sama menikmati kemeriahan sambutan ini. Suasana hangat dan mesra dimeriahkan lagi dengan pelbagai acara tradisional yang mencerminkan warisan budaya tempatan.

“Sebagai jenama tempatan yang berteraskan rakyat, kami sentiasa mencari ruang untuk lebih dekat dengan komuniti. Aram Begulai Ngabang Ba Mekdi adalah cara kami menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada masyarakat Sarawak, yang telah menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan McDonald’s di negeri ini,” ujar Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.

Acara ini disambut dengan penuh warna-warni dan nostalgia. Antara aktiviti menarik termasuk persembahan tarian Ngajat Induk, nyanyian daripada artis tempatan seperti Tino Amee, Phoebe Chloe dan The Crew feat Philies, serta pertandingan pakaian tradisional dengan ganjaran wang tunai. Permainan interaktif turut memeriahkan suasana, dengan hadiah baucar makanan kepada para pemenang.

Sebanyak 1,500 set Spicy Chicken McDeluxe telah diedarkan secara percuma kepada para tetamu, sebagai tanda penghargaan kepada komuniti yang hadir. Malam kemuncak diserikan dengan pertunjukan laser yang memukau, menutup tirai sambutan ini dengan penuh gemilang.

Aram Begulai Ngabang Ba Mekdi merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan McDonald’s Malaysia untuk menyertai dan meraikan perayaan pelbagai kaum di seluruh negara. Tahun ini sahaja, syarikat telah menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Mekdi pada Februari, Rumah Terbuka Raya Mekdi pada April, dan Aramai Bersama Mekdi sempena Pesta Kaamatan pada Mei.

Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia melaksanakan hampir 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun menerusi lebih 370 restorannya. Inisiatif tersebut termasuk menyantuni warga emas, meraikan Hari Guru, menyambut ulang tahun anak-anak yatim dan menjalankan program komuniti semasa Ramadan di masjid dan surau.

McDonald’s Malaysia kekal komited untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat, bukan sahaja sebagai penyedia makanan segera, tetapi sebagai rakan komuniti yang sentiasa menyumbang dan meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.