Pendapatan Berulang Jadi Tunjang Utama: Transaksi Tiket ETS dan Projek di Terminal 1 KLIA Pacu Hasil Go Hub dalam 9B TK2026

KUALA LUMPUR — Strategi memperkukuh aliran pendapatan berulang terus membuahkan hasil lumayan buat Go Hub Capital Berhad (“Go Hub”) apabila segmen tersebut menyumbang kira-kira 74.04% daripada keseluruhan pendapatan Kumpulan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9B TK2026). Pendapatan berulang meningkat sebanyak 42.88% kepada RM34.22 juta, sekali gus membantu melonjakkan jumlah hasil 9B TK2026 kepada RM46.22 juta dan memacu peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 49.89% kepada RM7.24 juta.

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S3 TK2026) sahaja, pendapatan berulang melonjak 39.35% tahun ke tahun kepada RM12.50 juta berbanding RM8.97 juta sebelumnya. Pencapaian ini disokong oleh peningkatan jumlah transaksi tiket susulan pertambahan kekerapan perjalanan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS), selain sumbangan hasil lebih tinggi daripada projek Sistem Pengurusan Barisan Teksi (TQMS) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada masa sama, pendapatan tidak berulang turut berkembang 53.18% kepada RM4.09 juta, dipacu oleh penyerahan projek Sistem Operasi Terminal (TOS) baharu bagi segmen bas dan rel.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub, En. Tan Cherng Thong, menjelaskan bahawa pelaksanaan projek e-hailing di Terminal 1 KLIA bermula Ogos lalu bersama peningkatan sumbangan TQMS telah mewujudkan aliran pendapatan berulang baharu yang melengkapi perniagaan teras bas dan rel Syarikat. Dengan kedudukan tunai kukuh bernilai RM18.19 juta, Go Hub berada pada landasan tepat untuk mengekalkan pertumbuhan stabil.