Sejauh mana pun langkah diatur merantau ke pelbagai pentas di seluruh negara, tanah kelahiran tetap menjadi destinasi paling istimewa buat kugiran ikonik, Spider. Selepas 30 tahun menempuh pelbagai liku dalam industri muzik sejak tahun 1996, kumpulan yang digawangi Tam, Iss, Pown dan Aie ini akhirnya bakal beraksi dalam sebuah konsert mega di negeri asal mereka menerusi Konsert Sengat Selatan Spider pada 30 Januari 2027.
Bertempat di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor, acara anjuran Icon Entertainment ini dirangka khusus bagi meraikan kematangan, pengalaman serta legasi tiga dekad Spider. Vokalis utama, Tam mengakui bahawa walaupun mereka sering mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain, beraksi dalam konsert berskala besar di Johor Bahru merupakan detik yang sangat diimpikan sejak sekian lama. Baginya, bumi Johor adalah saksi mutlak kepada segala harapan dan pengorbanan awal mereka sebelum berjaya mencipta nama di bawah didikan Datuk M. Nasir dan Luncai Emas.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang pula berpandangan bahawa sambutan tiga dekad kugiran tersebut wajib diraikan di tempat di mana segalanya bermula. Beliau percaya “Sengat Selatan Spider” bakal menjadi medan pertemuan peminat lintas generasi untuk menghayati keunikan muzik ska dan pop rock Spider yang cukup sinonim dengan lirik-lirik satira magis hasil sentuhan Allahyarham Loloq.
Malam penuh bersejarah itu nanti bakal bergema dengan rangkaian lagu hit yang telah mengangkat nama mereka seperti Aladin, Relaku Pujuk, Nazraku, Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi dan Kacap Terlabik. Persembahan yang dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam itu menjanjikan pengalaman audio dan emosi yang luar biasa buat para penonton yang hadir.


Peminat disarankan bersiap sedia merebut tiket yang mula dijual pada 26 November 2026, jam 3 petang di platform www.ticket2u.com.my/sengatspider. Harga tiket ditetapkan pada kadar mampu milik bermula RM88 (Pontian), RM128 (Mersing), RM168 (Pasir Gudang), RM188 (Batu Pahat), RM258 (Kota Tinggi) dan RM288 (Muar), manakala kategori Johor Bahru berharga RM888 disediakan bagi pasangan yang menginginkan keselesaan tempat duduk sofa.










