KUALA LUMPUR — Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup yang bakal menggegarkan Unifi Arena, Bukit Jalil pada Sabtu, 5 Disember 2026 menjanjikan detik penuh magis apabila Ratu Rock negara, Ella, bakal berganding bahu di atas satu pentas bersama tiga nama besar industri muzik tanah air iaitu Yuna, Datuk Ziana Zain, dan Shima. Penganjuran berskala mega oleh Hitman Solutions dan Rockqueen ini menjadi tirai penutup yang sarat dengan nilai penghargaan buat para peminat setia yang menyokong perjalanan muzik Ella selama ini.
Selain kelibat tiga artis jemputan istimewa yang masing-masing memiliki identiti vokal tersendiri, tumpuan utama malam tersebut pastinya terarah kepada persembahan sulung secara langsung single terbaharu Ella selepas hampir 10 tahun. Karya yang dinanti-nantikan itu merupakan hasil gubahan Saari Amri dengan lirik oleh Azam Dungun, dan bakal dipersembahkan buat pertama kali diiringi susunan muzik mantap di bawah pimpinan Datuk Acis. Menerusi sesi siaran langsung di TikTok baru-baru ini, Ella turut mendedahkan bahawa penonton bakal disajikan dengan deretan lagu pilihan yang jarang dibawakan termasuk Menyanyilah La La La, Puisi Hamba, Bendera Damai, Kabus dan Sirna, serta Puteri Kota.
Pementasan berprestij ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan radio rasmi Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM, dan THR Gegar, serta rakan media Astro Gempak, World of Buzz, dan HLive. Bagi peminat yang ingin menyaksikan gandingan bersejarah ini secara langsung, tiket boleh ditempah segera menerusi www.hitmanlive.com.











