Dua pemain industri yang mempunyai akar umbi kukuh di Malaysia serta penyenaraian antarabangsa terkemuka kini bergabung tenaga bagi membawa pembaharuan dalam sektor kesihatan global, anti-penuaan dan kesejahteraan. Holista Colltech Limited (ASX: HCT) dan Swang Chai Chuan Limited (HKEX:2321) secara rasmi mengumumkan usahasama strategik 50:50 menerusi Ovicoll Pty Ltd, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperluaskan kejayaan serantau mereka ke pasaran global.

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan pengeluaran kolagen nano biri-biri berteknologi tinggi di Collie, Australia Barat. Usahasama tersebut menggabungkan kekuatan unik kedua-dua syarikat, iaitu kepakaran inovasi saintifik daripada Holista Colltech yang disenaraikan di Australia serta kekuatan modal dan rangkaian pengedaran luas milik Swang Chai Chuan yang disenaraikan di Hong Kong.

Kolagen berasaskan ovine atau biri-biri yang dibangunkan menerusi kerjasama ini dilihat mempunyai potensi besar sebagai biologi “Halal” universal kerana sifatnya yang neutral dari segi budaya dan agama. Ini menjadikannya lebih mudah diterima di pasaran global serta menawarkan alternatif yang lebih sesuai untuk pengguna yang mementingkan aspek pematuhan Halal.

Kemudahan pengeluaran tersebut juga bakal memanfaatkan kelebihan biosekuriti bertaraf dunia di Australia, yang memiliki satu-satunya kawanan biri-biri di dunia yang diperakui bebas penyakit Scrapie serta dikategorikan sebagai mempunyai risiko BSE yang boleh diabaikan oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH). Status unik ini dikekalkan menerusi kawalan sempadan Australia yang ketat sejak pembentukan persekutuan negara itu pada tahun 1901.

Melalui Ovicoll Pty Ltd, kedua-dua syarikat menyasarkan pengembangan pasaran antarabangsa dengan memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam penyelidikan, pengeluaran dan pengedaran global. Dalam masa sama, Holista turut memeterai perjanjian bersama Regenerex Pharma, sebuah syarikat yang sedang berkembang dalam sektor pembalut luka, sekali gus memperkukuhkan keyakinan terhadap potensi komersial produk yang bakal dihasilkan.

Holista Colltech Limited merupakan syarikat kesihatan dan kesejahteraan yang disenaraikan di Australia dengan operasi utama di Malaysia. Syarikat itu memberi tumpuan kepada penyelesaian bioteknologi berasaskan sains menerusi beberapa segmen termasuk suplemen diet, bahan makanan sihat, kolagen ovine dan kawalan jangkitan. Swang Chai Chuan Limited pula ialah syarikat peneraju dalam sektor barangan pengguna cepat laris (FMCG) yang disenaraikan di Hong Kong dan menyediakan perkhidmatan pengedaran, logistik serta pergudangan komprehensif di Malaysia bagi pelbagai produk makanan, minuman dan barangan isi rumah.