Malaysia kekal waspada walau KDNK suku kedua kukuh: Azmin

Malaysia kekal waspada walau KDNK suku kedua kukuh: Azmin

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati walaupun mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih kukuh bagi suku kedua tahun ini.

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, data KDNK turut menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun terdedah kepada ketidaktentuan global.

“Malaysia dapat mengetepikan aliran serantau pada suku kedua tersebut apabila ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada 4.9 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang mantap khususnya perbelanjaan swasta serta peningkatan pengeluaran sektor perlombongan dan kuari.

“Namun, kita akan terus kekal berwaspada terhadap sebarang cabaran mendatang dan mengekalkan disiplin fiskal ketika berusaha melakukan yang terbaik untuk melonjakkan lagi pertumbuhan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Kongres Statistik Sedunia Institut Statistik Antarabangsa (ISI WSC 2019) ke-62, di sini hari ini.

Acara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menyampaikan ucap tama.

Mohamed Azmin turut menekankan kepentingan peranan statistik yang tepat, relevan dan kena pada masanya sebagai asas pembentukan dasar dan keputusan selain menjadi panduan untuk kerajaan melaras semula dasar tidak tepat.

“Kita tidak boleh terlalu menekankan kepentingan data semata-mata kerana sebaliknya apa yang lebih utama adalah integriti dalam pelaksanaan dasar tersebut,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Malaysia memiliki dasar terbaik yang dirangka berasaskan statistik tepat, namun tanpa integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban, objektif akhir itu tidak mungkin dapat dicapai.

“Oleh itu, walaupun statistik menjadi mata pentadbiran negara ini, namun tadbir urus yang baik masih menjadi teras bagi memenuhi jangkaan rakyat,” katanya.

Beliau turut memuji kepakaran Jabatan Perangkaan Malaysia yang memberi bantuan teknikal dalam bidang-bidang utama kepada negara-negara lain selain turut meraih manfaat menerusi perkongsian kemahiran dan pengetahuan tersebut.

Mohamed Azmin juga berkongsi data perangkaan penduduk bandar Malaysia yang meningkat daripada 28.4 peratus pada 1970 kepada 76.2 peratus tahun ini manakala ekonomi pula berkembang kepada RM1.36 trilion daripada RM11.82 bilion, sebelum ini.

Katanya, selain itu, purata pendapatan bulanan isi rumah meningkat pada kadar 7.1 peratus setahun kepada RM6,958 pada 2016 berbanding RM264 pada 1970. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *