Malaysia bangunkan sektor tenaga diperbaharui bernilai tinggi

Malaysia bangunkan sektor tenaga diperbaharui bernilai tinggi

SHAH ALAM – Malaysia akan mewujudkan Pasaran Pertukaran Tenaga Boleh Diperbaharui Serantau bagi meningkatkan lagi kecanggihan sektor elektrik dan elektronik (E&E) terutamanya semikonduktor.

Dalam masa sama, menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, negara juga akan membangunkan sektor tenaga diperbaharui yang bernilai tinggi.

Perkara tersebut dikongsikan pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali setelah meneliti temu bual Rafizi di Qatar Economic Forum secara dalam talian.

Selain itu, Noor Azlan berkata, Rafizi turut memaklumkan bahawa Malaysia perlu menggerakkan penstrukturan semula ekonomi untuk menjadi sebuah negara yang cemerlang.

Menurut beliau, pemulihan pascapandemik Covid-19 dan transformasi serta kestabilan politik perlu dimanfaatkan untuk menggerakkan penstrukturan semula ekonomi.

“Ketiga, perkara keutamaan untuk meningkatkan ekonomi adalah penyediaan bakat untuk menyokong pembangunan sektor bernilai tinggi yang baharu dilaksanakan.

“Ia adalah melalui pendekatan ‘demand-driven’ yang menggalakkan penglibatan industri secara intensif dalam latihan dan peningkatan kemahiran,” katanya pada Isnin.

Tambah Noor Azlan, rumusan seterusnya berdasarkan temu bual Rafizi adalah pelaksanaan subsidi bersasar mampu menjimatkan dan penjimatan itu akan disalurkan untuk keselamatan sosial serta pembangunan infrastruktur.

Rafizi (kanan) semasa temu bual di Qatar Economic Forum

Rafizi (kanan) semasa temu bual di Qatar Economic Forum

Menurut beliau, proses merasionalisasikan subsidi sudah bermula dan akan dibuat secara berperingkat.

Tambah Noor Azlan, Rafizi memaklumkan melalui kemajmukan masyarakat di Malaysia, ia membantu mengukuhkan hubungan pelbagai hala dengan semua blok kuasa dunia dan menekankan tawaran nilai kepada semua pihak.

“Rumusan keenam adalah pembangunan akan diserahkan ke semua negeri atau wilayah dengan setiap satu mempunyai kekuatan dan daya saing tersendiri serta infrastruktur yang khusus industri,” ujarnya.

Tambah beliau, penstrukturan baharu untuk meningkatkan ekonomi perlu bermula pada tahun pertama pemerintahan kerajaan baharu bagi meningkatkan keyakinan rakyat.

Bagaimanapun, menurutnya, ianya perlu dilaksana secara berperingkat dan tidak berbentuk ‘big-bang’ yang memberi kejutan.

Selain itu, Rafizi turut memaklumkan bahawa strategi dan fokus penstrukturan akan lebih jelas dengan pelancaran Industrial Master Plan (IMP) dan Kajian Separuh Penggal RMke12 sebelum Belanjawan 2024.

Jelasnya, Malaysia mesti mengambil peluang untuk segera bersedia ketika berhadapan dengan pusingan kelembapan ekonomi global dan sedia memanfaatkan pemulihan ekonomi global kelak.

Menurut Noor Azlan, Rafizi turut optimis dengan berhati-hati bahawa Malaysia mampu mencapai pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus.

Bagaimanapun, Rafizi yakin bahawa pertumbuhan tersebut mampu mencapai melebihi empat peratus.

Sumber