Malaysia Airlines tambah tiga laluan baharu ke India

Malaysia Airlines tambah tiga laluan baharu ke India

Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Izham Ismail (tengah) bercakap dalam sidang akhbar di Kompleks MITEC pada Jumaat. Turut bersama Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Izham Ismail (tengah) bercakap dalam sidang akhbar di Kompleks MITEC pada Jumaat. Turut bersama Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

SYARIKAT Penerbangan Malaysia Airlines menambah tiga laluan baharu ke India iaitu Amritsar bermula 8 November 2023, Thiruvananthapuram pula 9 November 2023, manakala Ahmedabad pada 1 Disember tahun ini sekali gus memenuhi permintaan pasaran pelancongan dan perniagaan yang semakin meningkat.

Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Izham Ismail berkata, permintaan penerbangan ke India adalah tinggi dan berpotensi meningkatkan sektor penerbangan serta pelancongan negara.

“India kekal sebagai pasaran utama bagi Malaysia Airlines dan kami sedia menambah kemudahan dalam memperkukuh pasaran perkhidmatan hospitaliti sedia ada.

“Setakat ini purata ‘load factor’ (penumpang, hasil industri) melalui jalan ini adalah 81 peratus bermula awal tahun ini sehingga Julai 2023 yang signifikan terhadap pertumbuhan dan keyakinan antara kedua-dua pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks MITEC pada Jumaat.

Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Izham Ismail.

Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Izham Ismail.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial MAG, Dersenish Aresandiran berkata, kekerapan penerbangan ke Thiruvananthapuram termasuk Kochi sebanyak lapan kali seminggu manakala Amritsar dua kali seminggu dan Ahmedabad empat kali seminggu.

Ujarnya, syarikat turut menawarkan tambang tiket pengenalan laluan tersebut serendah RM999 bagi kelas ekonomi dan RM2,999 di kelas perniagaan bermula 1 September hingga 9 September 2023.

“Laluan baharu akan dikendalikan oleh pesawat Boeing 737-800NG yang dilengkapi dengan 160 tempat duduk terdiri daripada 16 tempat duduk kelas perniagaan dan 144 tempat duduk dalam kelas ekonomi.

“Pembelian tiket bermula pada 1 September hingga 9 September 2023 dan untuk perjalanan bermula 8 November tahun ini sehingga 31 Mac 2024.

“Pelanggan yang menempah tiket dalam tempoh ini akan menikmati sehingga 50 peratus bonus mata ganjaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, dengan kekerapan jumlah penerbangan syarikat turut memperkenalkan produk baharu iaitu MHsports dan MHcruise bagi meningkatkan pengalaman baru kepada pelanggan.

“MHsports menyediakan perkhidmatan yang lebih fleksibel termasuk tambang istimewa bagi memenuhi permintaan pelanggan kami.

“MHcruise turut menampilkan tambang diskaun istimewa yang dibuat khusus untuk perjalanan terpilih bagi memenuhi keperluan percutian impian mereka,” katanya.

Sumber