Malakoff Corp catat kerugian bersih suku ketiga RM109.42 juta

Malakoff Corp catat kerugian bersih suku ketiga RM109.42 juta

MALAKOFF Corp Bhd mencatatkan kerugian bersih RM109.42 juta pada suku ketiga berakhir 30 September2023 berbanding keuntungan bersih RM66.54 juta setahun lepas terutamanya disebabkan oleh impak margin bahan api.

Syarikat itu menanggung margin bahan api negatif yang besar masing-masing sebanyak RM149.4 juta dan RM33.0 juta untuk loji arang batu Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd (TBE).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penjanaan tenaga dan penyelesaian alam sekitar itu berkata hasilnya susut 32.2 peratus kepada RM2.15 bilion daripada RM3.18 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

“Prestasi hasil yang merosot itu disebabkan terutamanya oleh pembayaran tenaga yang lebih rendah yang direkodkan daripada TBP dan TBE, kesan daripada penurunan harga arang batu sebenar (ACP) serta ketiadaan sumbangan hasil daripada GB3 Sdn Bhd berikutan tamat tempoh perjanjian pembelian tenaga (PPA),” katanya.

Sumber