Majuperak, Bank Rakyat bersama bangunkan Rumah Perakku

Majuperak, Bank Rakyat bersama bangunkan Rumah Perakku

Sandrea (dua dari kiri) bersama Redza Rafiq (kiri) dalam sidang akhbar pada Rabu.

Sandrea (dua dari kiri) bersama Redza Rafiq (kiri) dalam sidang akhbar pada Rabu.

IPOH – Majuperak Holdings Berhad (MHB) menandatangani pembiayaan pembinaan bernilai RM22 juta dengan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) di bawah projek Rumah Perakku.

Projek pembangunan 601 unit rumah mampu milik di Mukim Sungai Terap dekat Batu Gajah itu dilaksanakan secara berfasa bermula September 2023 dan dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun.

Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, skim perumahan yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 46.38 hektar itu menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM132 juta.

Menurutnya, dengan kemudahan bank bernilai RM22 juta itu, jumlah keseluruhan komponen yang bakal dibangunkan termasuklah Rumah Perakku 1; Rumah Perakku 2; dan Rumah Perakku 3 yang mempunyai empat bilik dan dua bilik air.

“Pembiayaan Pembinaan ini membuktikan keyakinan Bank Rakyat terhadap kemampuan Majuperak dalam melengkapkan pembangunan projek skim perumahan.

“Sejak ditubuhkan, penglibatan Majuperak sebagai pemain industri bagi sektor perumahan telah terbukti melalui 14 projek perumahan terdahulu dengan GDV mencecah RM1.09 bilion.

“Antara lokasi projek perumahan berjaya disiapkan termasuk di Mukim Hulu Kinta, Mukim Sungai Terap dan Mukim Changkat Jong,” katanya dalam sesi menandatangani pembiayaan pembinaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.

Majlis menandatangani diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Syed Agil Syed Hashim dan Naib Presiden Kanan Korporat dan Komersial Bank Rakyat, Mohd Hamka Abd Rani.

Harga rumah yang ditawarkan di bawah projek berkenaan adalah antara RM90,000 hingga RM300,000.

Sementara itu, Sandrea berkata, inisiatif MHB itu adalah selari dengan usaha kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan kediaman yang mampu dimiliki rakyat dari pelbagai peringkat pendapatan.

Katanya, kerjasama diberikan Bank Rakyat diharap memberi suntikan kepada MHB agar projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Dalam merancang sebuah perumahan baharu, kerajaan negeri amat menekankan aspek perancangan.

“Segala persiapan perlu dibuat dengan baik supaya pelaksanaannya mengikut jadual tanpa sebarang isu yang menyusahkan pembeli,” katanya.

Sumber